JOHOR BAHRU: Kedatangan Bulan Kebangsaan disambut meriah kira-kira 500 penuntut Kolej Kemahiran Johor (KKJ) termasuk etnik Orang Asli serta Sabah dan Sarawak yang membuat persembahan sempena Program Ambang Kemerdekaan 2024.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Pentadbiran, Sumber Manusia dan Kewangan KKJ, Mohamed Jaberidin Mesron berkata, program itu bertujuan menyemai semangat cintakan tanah air dalam kalangan penuntut pelbagai kaum.
Antara program yang disertai para penuntut dan kakitangan KKJ ialah perarakan sambil mengibar Jalur Gemilang, deklamasi sajak serta persembahan nyanyian lagu-lagu patriotik.
“Sambutan ini diadakan bukan sekadar tanda meraikan kejayaan negara mencapai kemerdekaan, malah sebagai usaha mendidik generasi muda menghargai pengorbanan generasi terdahulu memperjuangkan kemerdekaan negara.
“Paling penting sambutan ini dapat mengajak pelajar mensyukuri nikmat kemerdekaan, sekali gus memupuk semangat mempertahankan kemerdekaan negara,” katanya selepas menyertai Perarakan dan Persembahan Kemerdekaan di KKJ di Larkin, di sini hari ini yang disempurnakan Pengarah Jabatan Penerangan Johor, Saiful Hisham Mansor.
Menurut Mohamed Jaberidin, KKJ sentiasa menyahut seruan kerajaan bagi menyemarakkan lagi sambutan Bulan Kebangsaan dengan pelbagai pengisian yang mampu memberi erti kemerdekaan sebenar kepada para penuntutnya.
“Semasa pandemik Covid-19, kami juga menganjurkan program dengan deklamasi 63 sajak patriotik berganti-ganti melambangkan kemerdekaan negara,” katanya.
Sementara itu, penuntut Kursus Pentadbiran Sistem Komputer, Cempaka Sari, 20, yang merupakan etnik Orang Asli Seletar mengakui berbangga dapat mengetengahkan budaya serta menzahirkan rasa cinta terhadap negara.
“Saya rasa bersemangat untuk membuat persembahan dengan mengenakan aksesori Orang Asli Seletar yang mencerminkan kepelbagaian budaya di Malaysia. Saya harap anak muda boleh menunjukkan rasa cinta kepada negara dan dapat memastikan negara kita yang terdiri daripada pelbagai kaum mampu hidup bersama secara aman dan makmur,” katanya. – UTUSAN










