5 ahli sindiket ditahan,dadah RM1.85 juta dirampas

5 ahli sindiket ditahan, dadah RM1.85 juta dirampas

M. KUMAR (kanan) menunjukkan pelbagai jenis dadah yang dirampas daripada lima ahli sindiket pengedaran pada sidang akhbar di IPK Johor, ,Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Ibu dan anak serta sepasang kekasih antara lima individu yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam pengedaran dadah di kawasan Johor Bahru dan Seri Alam.

Ketua Polis Johor, Komisio­ner M. Kumar berkata, kesemua suspek berusia antara 28 hingga 59 tahun itu ditahan dalam tiga serbuan berasingan pada 31 Julai lalu dan polis turut merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM1.85 juta.

“Antara dadah dirampas termasuk 10.9 kilogram (kg) serbuk ekstasi, 95 gram (g) ketamin, 3.45g syabu, 24.12g pil ekstasi dan 155g pil eramin 5.

“Selain itu, polis turut me­rampas empat buah kereta, sebuah motosikal, seutas jam tangan bernilai RM20,000, wang tunai lebih RM78,000 serta barangan kemas bernilai RM52,735. Kesemua rampasan bernilai RM2.38 juta,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini semalam.

Kumar berkata, siasatan awal mendapati sindiket berkenaan bergiat aktif sejak sebulan lalu dan dadah yang dirampas itu boleh digunakan oleh seramai 37,496 penagih.

“Sindiket ini dikesan membawa masuk dadah dari luar negara sebelum dibungkus semula menggunakan bungkusan jenama minuman popular tempatan untuk mengaburi pihak berkuasa.

“Kesemua suspek kini direman dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan,” jelasnya.

Hingga kini, polis negeri ini telah menahan seramai 15,044 suspek melibatkan pelbagai ke­salahan dadah dengan rampasan sebanyak RM34.64 juta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN