SEREMBAN: Lebih 2,000 orang pengunjung hadir memeriahkan Fiesta Durian Matrix Concepts 2024 yang diadakan di Bayu Sutera Galleria di Bandar Sri Sendayan di sini hari ini.
Ketua Pegawai Pemasaran Matrix Concepts Holdings Berhad, Lim Kok Yee berkata, lebih menarik sebanyak 2.6 tan durian premium dihidangkan kepada pengunjung termasuk Musang King, Teka, IOI dan D24.
“Varieti buah-buahan tempatan termasuk kelapa pandan, nangka, rambutan, manggis dan tembikai turut disediakan.
“Fiesta durian itu adalah tanda penghargaan syarikat atas kesetiaan pelanggan terutama pembeli di projek perumahan Bayu Sutera di Bandar Sri Sendayan,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, pada masa depan Matrix Concepts merancang untuk mengadakan acara dengan penglibatan komuniti yang lebih besar.
Bayu Sutera merupakan komuniti kediaman tepi tasik seluas 216 ekar di tengah-tengah Bandar Sri Sendayan yang mana fasa pertamanya dilancarkan pada 2021.
Penjualan pantas fasa sebelum ini mencerminkan permintaan kukuh untuk tawaran Matrix Concepts, dengan 963 unit berjaya disiapkan dan diserahkan kepada pemilik rumah.-UTUSAN.










