GEORGE TOWN: Kapasiti efektif Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang di bahagian pulau kini menyusut di bawah paras 30 peratus berikutan taburan hujan yang rendah dan penggunaan air yang tinggi.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk Ir. K. Pathmanathan berkata, justeru, pengguna khususnya yang berada di Air Itam, Farlim, Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Tanjung Bungah dan kawasan berhampiran harus mengambil perhatian bahawa kapasiti efektif kedua-dua empangan itu adalah luar biasa rendah pada bulan ini.
“Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang hanya boleh diisi semula dengan taburan hujan yang ketara. Bagaimanapun, jumlah taburan hujan yang dijangkakan pada September ini tidak menentu.
“Sehubungan itu, PBAPP memohon kerjasama pengguna untuk mengurangkan penggunaan air sehingga musim hujan tiba,” katanya di sini semalam.
Berdasarkan maklumat laman sesawang PBAPP, setakat kelmarin, kapasiti Empangan Air Itam berada pada paras 28.9 peratus manakala Empangan Teluk Bahang pada paras 26.5 peratus.
Menurut Pathmanathan, Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang adalah empangan harian di mana air mentah dilepaskan dari empangan ini setiap hari untuk menghasilkan air terawat yang mencukupi bagi memenuhi permintaan pengguna.
“Secara teorinya, jika pengguna air mengurangkan penggunaan air sebanyak 10 peratus, rizab empangan boleh dilanjutkan sebanyak 10 peratus. Jadi, jika pengguna mengurangkan penggunaan air sebanyak 20 peratus pula, maka, rizab selebihnya mungkin bertahan 20 peratus lebih lama,” katanya.
Kata beliau, paras air Sungai Muda di muka sauk Lahar Tiang PBAPP di Seberang Perai telah susut di bawah paras selamat iaitu 2.0 meter (m) selama 24 daripada 31 hari sepanjang bulan lepas.
“Bagaimanapun, sejak 5 Ogos lalu ia telah meningkat melebihi paras 2.0m dan pada 12 Ogos lalu, paras sungai dicatatkan pada 2.69m. Jadi, PBAPP telah menormalkan operasi pengabstrakan air mentah di Lahar Tiang.
“Buat masa ini, kami dapat mengabstrak air mentah yang mencukupi dari Sungai Muda untuk menyokong pengeluaran air terawat yang optimum di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua,” katanya.
Dalam pada itu, kata beliau, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah memaklumkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang bahawa pihaknya sedang menunggu nasihat dan analisis Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) sebelum menjalankan operasi pembenihan awan di Pulau Pinang.
“NADMA juga menyatakan bahawa operasi pembenihan awan adalah tertakluk kepada ketersediaan pesawat TUDM (Tentera Udara Diraja Malaysia),” katanya dengan memberitahu, kakitangan PBAPP juga akan terus bersiap siaga memandangkan kapasiti efektif Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang yang terus rendah ketika ini. – UTUSAN










