10 Rumah Baitul Rahmah dibina MAINS-JHEAINS - Utusan Malaysia

10 Rumah Baitul Rahmah dibina MAINS-JHEAINS

AMINUDDIN Harun (lima dari kiri) menyerahkan replica kunci rumah kepada Nor Azizah pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Baitul Rahmah Kampung Orang Asli Chembong, Rembau hari ini.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Sebanyak 10 buah Rumah Baitul Rahmah yang merupakan projek inisiatif menyediakan tempat perlindungan kepada golongan kurang bernasib baik di negeri ini telah pun dibina sejak tahun 2020.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, inisiatif itu merupakan usahasama antara Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS).

Kata beliau, inisiatif itu bukan hanya memenuhi keperluan asas golongan seperti fakir miskin dan anak yatim tersebut tetapi juga memberikan pendidikan, latihan kemahiran dan bimbingan agama.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Usaha ini akan diteruskan untuk membina Baitul Rahmah kepada individu yang berkelayakan khususnya mualaf dalam kalangan Orang Asli.

“Kerajaan Negeri Sembilan sentiasa komited dalam menjaga kebajikan rakyat khususnya golongan yang memerlukan. Pembinaan Rumah Baitul Rahmah ini adalah bukti bahawa kerajaan negeri sentiasa mengutamakan keperluan masyarakat yang memerlukan melalui agensi-agensi terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Baitul Rahmah Kampung Orang Asli Chembong dan Majlis Pelantikan Penyelia Surau Kampung Orang Asli Seluruh Negeri Sembilan di Kampung Orang Asli Chembong di sini.

Sementara itu, seorang ibu tunggal Orang Asli Suku Temuan di Chembong, Nor Azizah Mustaffa, 32,merupakan penerima Rumah Baitul Rahmah tersebut.

Menurut ibu tunggal berkenaan, Nor Azizah Mustaffa, 32, dia sebelum ini tinggal menumpang di rumah saudara-mara yang lain, sebelum ibunya memberi cadangan untuk dia menetap bersama tiga anak berusia tujuh tahun hingga 16 tahun di rumah neneknya di kampung berkenaan.

“Pada tahun lalu, saya telah mengisi borang untuk memohon rumah ini dan tidak menyangka akan mendapat kemudahan ini secepat ini. Apa yang membuatkan saya lebih senang hati rumah yang dilengkapi kemudahan tiga bilik ini diberikan secara percuma.

“Saya hanya bekerja kampung menoreh getah memang tidak mampu untuk sediakan rumah sendiri untuk kami empat beranak berteduh. Saya hanya berpendapatan RM500 sebulan dan mendapat bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk anak-anak,” katanya yang memberitahu terpaksa sebelum ini menumpang tinggal di rumah saudara-mara.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini