MARAN: Pemaju bermasalah didakwa punca 10 projek Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) di negeri ini di kategori ‘projek sakit’ kerana sehingga kini tidak membayar tuntutan lima kontraktor utama berjumlah RM20.5 juta.
Projek yang kini dikenali sebagai Rumah Pahang membabitkan lebih 1,800 unit rumah itu adalah di Keratong 7, Jengka 11, Kampung Awah, Bukit Sagu, Sungai Retang, Jengka 1, Kota Gelanggi 2, Jengka 12, Jengka 6 dan Bukit Tajau.
Nilai pembangunan kasar (GDV) keseluruhan projek tersebut dianggarkan RM222 juta membabitkan di daerah Maran, Kuantan, Jerantut dan Rompin.
Projek ‘sakit’ itu adalah besar dan melibatkan anak-anak peneroka Felda generasi kedua, ketiga dan keempat yang sudah lama menunggu rumah.
Kontraktor projek di Felda Jengka 1, Abd. Rahman Abd. Samad mendakwa, punca utama projek perumahan terbabit terbengkalai disebabkan pemaju ‘bermasalah’ yang merupakan rakan usahasama kerajaan negeri tidak membuat bayaran dituntut kontraktor utama.
Beliau mendakwa, pihaknya memperoleh surat perjanjian pada Julai 2022 daripada syarikat pemaju terbabit untuk membina 451 unit rumah di Felda Jengka 1, Jengka 6, Jengka 12, Bukit Sagu dan Keratong 7.
“Di Jengka 1, kemajuan keseluruhan projek adalah 50 peratus, Jengka 6 (20 peratus), Jengka 12 (20 peratus), Bukit Sagu (40 peratus) dan Keratong 7 (10 peratus).
“Kami sebenarnya tiada masalah untuk meneruskan pembinaan projek terbabit kerana sejak mengambil alih memang niat kami untuk membantu generasi kedua Felda mempunyai kediaman sendiri.
“Tetapi isu utamanya pemaju ‘bermasalah’. Sepatutnya setiap tiga bulan pemaju perlu bayar sikit-sikit kepada kami, tetapi apabila kami minta bayaran, pelbagai janji manis diberikan. Sejak projek dimulakan, dua tahun kami tidak dapat bayaran,” dakwanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Mengulas lanjut, Abd. Rahman berkata, kecewa belum menerima bayaran keseluruhannya berjumlah lebih RM7 juta, pihaknya bersama empat lagi kontraktor utama projek berkenaan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat pemaju terbabit dan juga Lembaga Perumahan Hartanah Pahang (LPHP). – UTUSAN










