PETALING JAYA: Pelakon, Zara Zya, belum sedia memberi respons berhubung kenyataan yang dikeluarkan bapa kandungnya, Mohd Zainuddin , baru-baru ini.
Menerusi satu mesej pendek yang dihantar kepada Utusan Malaysia, pelakon Segenap Takdir itu lebih selesa mengambil pendekatan mengunci mulut.
“Maaf, buat masa ini tiada sebarang kenyataan daripada saya,” tulisnya ringkas.
Dalam pada itu, Zara Zya juga memaklumkan dirinya kini berada dalam keadaan baik selepas dimasukkan ke pusat perubatan akibat jangkitan kuman, awal bulan ini.
“Alhamdulillah, saya sihat,” ujarnya lagi.
Terdahulu, bapa Zara Zya, Mohd Zainuddin, mengakui merindui anaknya itu walaupun hubungan mereka digambarkan bermasalah.
Bagaimanapun, Zainuddin enggan mengulas lanjut punca keretakan hubungan mereka kerana tidak mahu keadaan menjadi semakin keruh.
Bukan itu sahaja, dia juga menitipkan pesanan kepada Zara Zya bahawa gelaran bapa dan anak antara mereka tidak boleh dihapuskan walaupun pelakon itu bersikap dingin.
Sebelum ini, Zara Zya mencuri perhatian apabila berkongsi di aplikasi Thread mengenai bapanya yang digambarkan ‘tidak wujud’ dalam kehidupannya.
Dalam hantaran berkenaan, Zara Zya mendakwa bapanya juga sering menyebarkan keburukannya di media sosial. – UTUSAN










