Warga Bangladesh mengaku salah beri rasuah RM1,000 - Utusan Malaysia

Warga Bangladesh mengaku salah beri rasuah RM1,000

ALI SULTAN (tengah) didakwa atas pertuduhan memberi rasuah sebanyak RM1,000 kepada pembantu penguat kuasa MBIP di Mahkamah Sesyen Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang pekerja kedai runcit warga Bangladesh mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, di sini hari ini atas pertuduhan memberi suapan wang tunai berjumlah RM1,000 kepada seorang pembantu penguat kuasa Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), tahun lalu. 

Tertuduh, Ali Sultan, 39, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail. 

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa memberi suapan wang tunai RM1,000 kepada seorang pembantu penguatkuasa MBIP sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas kedai runcit tempat dia bekerja kerana gagal mematuhi kehendak notis yang dikeluarkan kerana menjual ayam, itik dan ikan hidup yang merupakan kesalahan di bawah Seksyen 109 Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kesalahan itu dilakukan di premis tersebut di Jalan Pelepas 4/1, Taman Perindustrian Tanjung Pelepas, Gelang Patah pada pukul 11.04 pagi, 16 Ogos 2023.

Dia didakwa di bawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) Akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika disabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Fazal Lisam Abidin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Pihak pendakwaan mencadangkan supaya tertuduh tidak dibenarkan untuk diikat jamin kerana berisiko melarikan diri.

Ali Sultan memohon jaminan dikurangkan kerana baru dua tahun bekerja di negara ini dan mempunyai tanggungan anak dan isteri di Bangladesh serta masih menampung perbelanjaan adik-adiknya.

Hakim kemudian menangguhkan hukuman yang akan dikenakan terhadap tertuduh kerana tidak berpuas hati dengan bagaimana prosiding berjalan.

“Prosiding sepatutnya berjalan lancar di mana tertuduh faham pertuduhan dan hukuman. Oleh itu, mahkamah beri masa kepada tertuduh untuk lantik peguam selain dapatkan jurubahasa Bangladesh bagi memastikan prosiding berjalan lancar,” katanya sambil  memaklumkan tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin dan akan ditahan  di Pusat Koreksional Johor Bahru (Pusat Reman Johor) sehingga tarikh sebutan semula kes pada 25 Ogos ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×