SEREMBAN: Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melalui Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (Ummi) menjalinkan kerjasama dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dalam usaha memperkasa dan meningkatkan penglibatan orang kurang upaya (OKU) dalam pasaran pekerjaan.
Kerjasama kedua-dua belah pihak itu melibatkan penambahbaikan melalui latihan, kajian dan inovasi khususnya dalam menguruskan keperluan pencarum Perkeso dalam kalangan OKU.
Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani berkata, melalui usaha tersebut, USIM menawarkan khidmat konsultasi dan kepakaran dalam bidang penyelidikan dan inovasi serta sinergi latihan selain pemindahan ilmu bagi mendepani isu serta cabaran pekerja OKU.
“Ini membuka peluang baharu bagi perkongsian dalam bidang pemerkasaan latihan dan penyelidikan khususnya bagi komuniti OKU.
“Perkeso sebagai institusi yang berpengalaman dalam memberi perlindungan keselamatan sosial demi kesejahteran masyarakat, memberi peluang kepada USIM untuk memperluaskan inisiatifnya dalam membantu komuniti OKU bagi mengurangkan kadar pengangguran serta meningkatkan tahap kemahiran dan kebolehpasaran OKU,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di antara UIM dan Perkeso di Bangunan Canselori USIM, Nilai di sini hari ini.
Pada majlis itu, Perkeso diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed.
Sharifudin dalam pada itu berkata, pada majlis tersebut turut menyaksikan satu projek risalah program Return To Work (RTW) Perkeso yang telah ditranskripsi ke dalam tulisan Braille telah berjaya dihasilkan oleh USIM.
“Projek ini merupakan titik tolak yang penting dalam perjalanan kita bersama-sama untuk menyantuni komuniti OKU penglihatan untuk kembali bekerja.
“Kita bertanggungjawab untuk mewujudkan peluang pekerjaan kepada komuniti OKU yang sesuai dengan keilatan mereka disamping dapat meningkatkan keyakinan diri mereka untuk hidup berdikari,” katanya lagi.
Sementara itu, Mohammed Azman berkata, berdasarkan perangkaan pihaknya seramai 76,390 individu berjaya kembali bekerja selepas menjalani latihan pemulihan sejak program RTW dilaksanakan iaitu pada 2007 hingga Mei 2024.
“Ia sekali gus membuktikan prinsip no one is left behind yang dibawa Perkeso. Oleh itu, hasil kerjasama sehingga membawa kepada penghasilan risalah RTW dalam terjemahan Braille pada hari ini, ia diyakini mampu terus memangkin penempatan OKU dalam pasaran kerja dan memacu sosioekonomi mereka,” katanya.-UTUSAN.











