SOUTHPORT: Satu tunjuk perasaan bertukar ganas apabila ahli sebuah kumpulan anti-Islam bertempur dengan pasukan polis, beberapa jam selepas upacara peringatan diadakan untuk tiga kanak-kanak yang terbunuh dalam serangan seorang suspek bersenjatakan pisau.
Polis Merseyside merekodkan seramai 22 pegawainya cedera dengan lapan daripadanya parah dalam kekacauan yang tercetus pada waktu malam di Southport, barat laut England.
Kekacauan bermula apabila ratusan penunjuk perasaan kebanyakannya lelaki, mula menyerang sebuah masjid di Southport, membakar kenderaan dan tong sampah serta memecah masuk sebuah kedai tempatan.
Botol dan batu turut dilemparkan kepada polis dalam demonstrasi dipercayai mempunyai kaitan dengan sebuah kumpulan anti-Islam, Liga Pertahanan Inggeris yang pernah melakukan beberapa protes serupa, sebelum ini.
Penolong Ketua Polis Merseyside, Alex Goss memberitahu, pihaknya yang berdepan penunjuk perasaan ganas sedaya upaya cuba memulihkan keadaan.
Susulan serangan itu, seorang remaja tempatan berusia 17 tahun yang berasal dari Banks, di Lancashire ditahan atas dakwaan membunuh dan cubaan membunuh.
Polis memberitahu, suspek dilahirkan di Cardiff, Wales, namun spekulasi tercetus mengaitkan serangan dengan kumpulan pengganas.
Tiga kanak-kanak yang terbunuh dikenal pasti sebagai Bebe King, 6, Elsie Dot Stancombe, 7, dan Alice Dasilva Aguiar, 9. – AGENSI










