MANILA: Filipina menggesa aktiviti tangkapan ikan di perairannya dihentikan selepas sebahagian daripada 1.4 juta liter minyak bahan api industri daripada insiden kapal tangki terbalik, mula bocor ke Teluk Manila, hari ini.
Khamis lalu, MT Terra Nova dilaporkan terbalik dan tenggelam di perairan itu akibat cuaca buruk, yang menyebabkan seorang anak kapal maut dan negara kemungkinan berdepan bencana tumpahan minyak terburuk.
Tumpahan minyak meningkat lebih tiga kali ganda sejak insiden kelmarin, dan kini dianggarkan menjangkau antara 12 kilometer dan 14 kilometer merentasi teluk.
Insiden itu menjejaskan ribuan nelayan dan pengusaha pelancongan yang menjadikan kawasan perairan tersebut sebagai punca pendapatan.
Jurucakap pengawal pantai, Laksamana Muda Armando Balilo berkata, penyelam memeriksa badan kapal dan melihat berlaku ‘kebocoran minimum’ dari injap.
“Ia hanya sejumlah kecil yang mengalir keluar. Kita berharap esok akan dapat memulakan proses menyedut minyak dari kapal tangki tersebut,” katanya.
Pengawal pantai memberi amaran jika keseluruhan muatan kapal bocor, ia akan menjadi ‘bencana alam sekitar’.
Sebelum ini, pihak berkuasa mengesahkan tumpahan minyak yang berlaku di perairan hanya melibatkan kebocoran bahan api diesel daripada kapal tangki berkenaan.
Kapal itu tenggelam ketika hujan lebat akibat Taufan Gaemi dan monsun bermusim melanda Manila serta kawasan sekitarnya sejak beberapa hari lalu.- AFP










