ALOR SETAR: Triumph Point (M) Sdn. Bhd. mengembangkan lagi perniagaan mereka dengan membangunkan Pusat Jualan, Servis dan Alat Ganti (3S) kenderaan di Titi Gajah, di sini.
Syarikat pengedar sah Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) itu sebelum ini beroperasi di Taman Pandan, di sini yang ketika itu hanya menawarkan perkhidmatan jualan kenderaan jenama tersebut.
Pengarah Triumph Point, Datuk Ismail Lall Khan berkata, pihaknya membelanjakan RM10 juta untuk pembinaan bangunan satu tingkat berkeluasan 2,500 meter persegi yang dilengkapi pelbagai fasiliti.
“Kami berpindah dari Taman Pandan ke sini sejak Januari lalu dan pusat 3S ini mula beroperasi pada Mac yang menawarkan pelbagai kemudahan serta perkhidmatan yang lebih selesa untuk pelanggan.
“Perancangan membina bangunan ini tertangguh sementara akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tapi kini berjaya disiapkan dengan pelbagai kemudahan termasuk surau yang boleh menempatkan hingga 150 jemaah dan restoran bertaraf bistro,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis perasmian bangunan itu yang disempurnakan Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin.
Ismail berkata, pusat 3S berkenaan turut diiktiraf mengikut standard operasi baharu yang secara tidak langsung menambah semangat kepada Triumph Point dalam memberi perkhidmatan cemerlang kepada pelanggan.
Katanya, lokasi yang strategik itu diharapkan dapat meningkatkan lagi jualan kenderaan jenama Perodua yang mana tahun lalu Triumph Point merekodkan 2,488 unit terjual. –UTUSAN











