SEREMBAN: Sebanyak tiga projek telah diluluskan hasil peruntukan kerajaan Persekutuan dan negeri bagi mengatasi masalah banjir yang sering berlaku di pekan Nilai.
Tiga projek berkenaan adalah projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Batang Labu, projek naik taraf kolam tadahan air hujan Taman Desa Jasmin dan projek naik taraf sistem perparitan pekan Nilai.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri, J. Arul Kumar berkata, kesemua pelaksanaan projek berkenaan pastinya dapat mengurangkan risiko banjir berlaku di pekan Nilai.
Menurutnya, kawasan pekan Nilai adalah kawasan yang paling rendah di Nilai dan setiap kali hujan sebahagian kawasan tersebut akan dilanda banjir.
Kata beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nilai, punca berlakunya banjir adalah pertembungan tiga batang sungai di pekan Nilai iaitu Sungai Batang Nilai, Sungai Sekah dan Sungai Batang Labu.
“Pertembungan ini menyebabkan air backflow (mengalir balik) dan beberapa kawasan dinaiki banjir. Kolam tadahan air hujan di Taman Desa Jasmin yang sepatutnya menjadi tempat untuk air bertakung dan dikeluarkan secara berperingkat tidak dapat berfungsi dengan baik.
“Kemudian air yang masuk ke kolam tersebut dari kawasan Putra Nilai, Desa Indah dan sebelah Plaza Tol Nilai tidak bertakung dan terus keluar dan mengalir ke pekan Nilai menjadi punca masalah banjir sering kali berlaku.
“Satu lagi perkara yang menyebabkan air bertakung di hadapan barisan kedai adalah tidak ada sistem perparitan yang sesuai,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Jelas Arul Kumar, pelaksanaan projek RTB di Sungai Batang Labu yang kini di peringkat kajian Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), pengaliran air dari Sungai Sekah dan Sungai Batang Nilai pasti akan lebih lancar dan risiko banjir di pekan Nilai dapat dikurangkan.-UTUSAN.










