KUALA LUMPUR: Sebanyak 160 jalan tikus atau laluan keluar masuk haram bagi pendatang asing tanpa izin (PATI) dikesan dengan sebahagian besarnya berada di Kedah, Perlis dan Kelantan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, jumlah jalan haram itu melebihi jumlah pintu masuk rasmi sebanyak 140 laluan.
Menjawab soalan tambahan Dr. Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) di Dewan Rakyat, beliau berkata, kerajaan juga memprofilkan kawasan tumpuan bagi mengenal pasti kawasan yang paling ramai diduduki pendatang.
Katanya, perkara itu sebagai usaha selain melaksanakan penguatkuasaan ke atas majikan susulan lambakan warga asing berniaga.
“Kalau mereka berniaga di pasar, sudah tentu dengan penglibatan majikan tempatan (sebab) yang dapat meja pasar itu orang tempatan tetapi jadi tauke di rumah dan sewa kepada orang Bangladesh.
“Jadi, penguatkuasaan bukan hanya ke atas mereka yang datang, tetapi juga ke atas majikan,” katanya.
Beliau berkata, sebanyak 2.3 juta warga asing yang mempunyai pas bekerja yang sah direkodkan di negara ini.
Sementara itu, Saifuddin berkata, pihak beriltizam menambah baik tujuh rating negatif dalam Laporan Pemerdagangan Manusia terbitan Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) dengan sasaran mencapai Tier 1.
Menurut beliau, usaha penambahbaikan ke atas 16 perkara dinyatakan dalam laporan itu menjadi tumpuan utama Kementerian Dalam Negeri (KDN) ketika ini.
Beliau berkata, lapan rating positif diterima Malaysia itu termasuk bilangan penyiasatan, menjelaskan lebih banyak kes, kertas siasatan, pertuduhan dan sabitan berkaitan aktiviti pemerdagangan manusia. – UTUSAN










