KUALA LUMPUR: Tiada pertembungan ‘besar’ dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selepas Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Datuk Seri Hamzah Zainuddin bakal bertanding jawatan Timbalan Presiden parti pada pemilihan ini.
Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, semua pemimpin dan ahli parti menyokong keputusan tersebut.
Kata beliau, dengan cara tersebut tidak akan mewujudkan perpecahan atau ‘cai’ kerana penyandang Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menerima keputusan itu dan setuju berundur diri.
Katanya, dengan langkah ini juga tiada ‘politik wang’ yang akan berlaku untuk menyogok mana-mana ahli supaya menyokong pihak tertentu demi kepentingan masing-masing.
“Saya percaya penyelesaian yang dibuat Tan Sri tidak dibuat seorang-seorang. Tan Sri akan bermusyawarah terlebih dahulu di peringkat sayap dan sebagainya bagi kita semua dapat melihat gambaran penuh.
“Kami dalam Bersatu tidak ramai pemimpin di peringkat nasional, jadi bila ada perbincangan seperti ini, ia memastikan perpecahan yang kuat dalam pemilihan akan datang.
“Malah, tidak akan berlaku juga wang berlebihan dibazirkan ke tempat lain dan tumpuan boleh diberikan sepenuhnya dalam menghadapi pilihan raya,” katanya ketika dihubungi.
Kata Wan Ahmad Fahysal lagi, semua pihak termasuk pimpinan Pas turut menyenangi keputusan tersebut berikutan Hamzah lebih mesra dengan pemimpin parti Islam sekali gus mengukuhkan kedudukan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN).
“Ini satu situasi menang-menang untuk Pas dan Bersatu untuk lebih diterima rakyat ketika ramai mencurigai Kerajaan Perpaduan dan saya percaya kerajaan hari ini dapat ditumbangkan pada pilihan raya akan datang,”katanya.
Sementara itu, Datuk Wan Saiful Wan Jan turut berkata, gandingan Muhyiddin dan Hamzah gabungan yang ideal sama ada di peringkat nasional atau kepimpinan parti.
“Hamzah sebelum ini dilihat memainkan peranannya dengan sangat baik sebagai Ketua Pembangkang, dari segi pentadbiran pun beliau menguruskannya dengan lancar dari semasa ke semasa. Sebelum ini Hamzah juga merupakan seorang Setiausaha Agung parti, beliau menonjolkan ketokohannya,” katanya. – UTUSAN










