Tiada perbincangan hidupkan kerjasama UMNO, Pas-Asyraf Wajdi

Tiada perbincangan hidupkan kerjasama UMNO, Pas – Asyraf Wajdi

ASYRAF WAJDI DUSUKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asy­raf Wajdi Dusuki menegaskan, tidak wujud apa-apa perbinca­ngan dengan Pas untuk menghidupkan semula kerjasama dengan parti itu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Menurut beliau, perbinca­ngan itu mungkin hanya membabitkan dalam kalangan ahli ataupun penyokong parti, bukannya di peringkat kepimpinan kedua-dua parti.

“Saya sebagai Setiausaha Agung UMNO pun tidak tahu, kalau nak berbincang ia berbincang dengan kepimpinan.

“Macam saya dengar pemim­pin Pas bincang dengan Pakatan Harapan (PH) pun boleh berbincang,” kata beliau selepas Mesyuarat Penyelarasan Barisan Nasional-Pakatan Harapan Bagi Pilihan Raya Kecil Dun Nenggiri, Kelantan di sini, semalam

Utusan Malaysia kelmarin melaporkan, Pas mendedahkan beberapa siri pertemuan bersama pemimpin UMNO kerap berlaku ketika ini untuk membincangkan kerjasama menje­lang PRU16.

Perkara itu didedahkan Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari yang berkata, pertemuan dibuat secara tidak formal membabitkan pemimpin utama kedua-dua parti sekali gus dilihat mempunyai harapan dalam menyatukan kembali undi Me­layu yang kini berpecah teruk.

Pada 8 Julai lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO itu tidak akan bekerjasama dengan Pas selagi Abdul Hadi Awang menjadi Presiden parti itu.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, pengalaman bekerjasama de­ngan Pas sebelum ini menyebabkan keputusan tersebut diambil.

Dalam perkembangan lain, Asyraf Wajdi berkata, Kerajaan Perpaduan menerusi gabungan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) bersetuju untuk memfokuskan strategi micro-targeting kepada setiap pe­ngundi mengharungi Pilihan Raya Kecil (PRK)

Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri Kelantan, 17 Ogos depan.

Beliau yang juga Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan Malaysia berkata, bagi PRK Nenggiri gabungan PH-BN tidak akan mengadakan ceramah umum atau ceramah mega bagi meraih undi pengundi.

Menurut beliau , Kerajaan Perpaduan akan menggabungkan senarai ahli dan penyokong daripada BN dan PH untuk memastikan setiap pengundi di negeri ini tidak terlepas.

“PH Kelantan telah me­ngadakan beberapa siri me­syua­rat dan sedar bahawa pilihan raya ini penting untuk Kerajaan Perpaduan.

“Matlamat utama kita adalah untuk mencapai kemenangan melalui kerjasama dengan UMNO dan BN serta pilihan raya kali ini merupakan peluang bagi kita untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat di negeri ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, melalui kerjasama itu Kerajaan Perpaduan juga diharapkan dapat menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan oleh rakyat.

Katanya, pada PRU15, BN Kelantan menerima sokongan daripada masyarakat dan memfokuskan untuk meraih soko­ngan pengundi daripada pelbagai latar belakang, termasuk di kampung tradisi, Felda, Ke­sedar, dan kawasan Orang Asli.

“BN dan PH mempunyai pengaruh yang kuat di perkampungan Orang Asli, dan dengan kerjasama yang terjalin, kami berharap dapat memperoleh sokongan penuh daripada me­reka.

“Kita juga mempunyai kawasan-kawasan putih bagi PH. Cabaran utama kita adalah memastikan penyokong-penyokong kita, yang berdasarkan data berjumlah sekitar 2,400 pengundi, keluar me­ngundi kali ini,” jelasnya.

Selain itu, Asyraf Wajdi berkata, PH-BN sepakat untuk menyelaraskan kerjasama dalam pelbagai aspek, terutamanya dalam menggerakkan jentera di semua peringkat di Kelantan dan juga negeri-ne­geri luar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×