KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad memberi amaran tidak akan berkompromi atas sebarang isu buli dalam kalangan petugas kesihatan di bawah kementerian itu.
Beliau mengingatkan bahawa beliau pernah mengambil tindakan terhadap seorang pegawai kanan kerajaan sehingga pegawai itu dipecat.
“(Jika ingat) dalam pusingan pertama, dalam (penggal) Parlimen ke-14 saya mengambil tindakan ke atas seorang ketua jabatan berpangkat Jusa A sehingga beliau dipecat.
“Jadi, kali ini saya juga tidak akan berkompromi atas apa-apa pun buli yang dijalankan terutama secara serius dan yang berulang,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat, semalam.
Beliau berkata demikian ketika menggulungkan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) 2021 dan tahun 2022.
Katanya, setakat ini, empat kes buli direkodkan daripada 318 aduan dalam kalangan petugas kesihatan Kementerian Kesihatan menerusi sistem MyHealth, sehingga 30 Jun lepas.
“Daripada jumlah ini, 72 aduan dikemukakan oleh pegawai perubatan manakala 68 lagi merupakan aduan pelbagai isu berkait isu perkhidmatan, permohonan naik pangkat, pertukaran dan lain-lain,” katanya.
Beliau berkata, semua aduan itu kini dalam peringkat siasatan bagi membolehkan tindakan lanjut diambil terhadap pembuli.
“Kita telah dan sedang menjalankan pelbagai usaha untuk menangani isu buli. Ia termasuk melalui syor-syor yang telah dikemukakan daripada laporan Pasukan Petugas Khas Bagi Penambahbaikan Budaya Kerja Perkhidmatan Kesihatan (HWCITF),” katanya.
Sementara itu, Dzulkefly berkata, sistem MyHealth diurus dan dikawal selia sepenuhnya oleh unit integriti Kementerian Kesihatan bagi menjamin tatakelola yang baik.
Katanya, kementerian juga sedang dan dalam kajian untuk memperincikan lagi berkenaan hak-hak dan perlindungan yang seharusnya diberikan kepada para pembeli maklumat bagi menjamin perlindungan kepada mereka.
“Seterusnya, menyeragamkan modul dan menggariskan objektif pembelajaran dalam program orientasi dan transformasi minda kepada pegawai perubatan siswazah (PPS) yang baru dilantik.
“Ia merangkumi aspek perkhidmatan seperti memberi pengenalan kepada pengurusan hospital dan saluran aduan betul serta aspek teknikal seperti modul kesedaran dan keselamatan pesakit,” katanya. – UTUSAN










