Tarif elektrik PKS patut lebih rendah

Tarif elektrik PKS patut lebih rendah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kadar tarif elektrik untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) perlu diturunkan lagi memandangkan harga arang batu menurun sejak setahun lalu di samping industri itu terus beroperasi dalam persekitaran mencabar kerana ketidaktentuan pertumbuhan ekonomi.

Presiden Persekutuan Pekilang Malaysia (FMM), Tan Sri Soh Thian Lai berkata, pengurangan daripada 17 sen/kWh kepada 16 sen bagi separuh kedua tahun ini sudah dijangka dengan harga arang batu stabil sepanjang tahun lalu.

Justeru itu, katanya, para pengilang mahu kerajaan lebih telus tentang bagaimana ia mengira surcaj tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tambah Thian Lai, pihak industri juga mahu kerajaan mengkaji semula kelayakan PKS di bawah kategori voltan sederhana (MV) bagi membolehkan mereka mendapat surcaj lebih rendah.

“Ia sama seperti kadar diberikan kepada sektor perkhidmatan air yang kini dikurangkan kepada 2.7 sen/kilowatt sejam (kWj) daripada 3.7 sen/kWj sebelumnya.

“Industri secara amnya, termasuk PKS terus beroperasi dalam persekitaran yang mencabar kerana ketidaktentuan pertumbuhan ekonomi. Malah isu inflasi pada tahun ini masih menjadi kebimbangan berikutan kesan rasionalisasi subsidi dan konflik geopolitik berpanjangan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Terdahulu, kerajaan mengumumkan bahawa tiada kenaikan tarif elektrik kepada semua pengguna di Semenanjung hingga hujung tahun ini manakala pengguna domestik terus dilindungi melalui pelaksanaan subsidi elektrik secara bersasar yang akan dibiayai kerajaan adalah sebanyak RM2.192 juta bagi tempoh tersebut.

Selain itu, pengguna-pengguna komersial dan industri akan mengalami penurunan kadar surcaj ICPT sebanyak 1 sen/kWj bagi tempoh sama bagi mengekalkan kestabilan harga barangan di pasaran.

Malah kerajaan juga bersetuju menurunkan surcaj sebanyak 1 sen/kWj kepada kategori lampu jalan (tarif G dan G1) di bawah seliaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi tempoh sama.

Kata Thian Lai, PKS-Mikro membentuk 98 peratus daripada perniagaan dan menggajikan 7.3 juta daripada tenaga kerja kita serta menyumbang 37.4 peratus daripada keluaran dalam negeri kasar.

“Persekitaran surcaj tinggi yang berterusan tidak akan dapat dipertahankan bagi PKS untuk terus berdaya saing dalam jangka masa panjang,” katanya.

Beliau juga berharap kerajaan akan kemuka kadar tarif perindustrian yang ‘berdaya saing dan menarik’ berbanding kadar di negara-negara jiran.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN