Suri 'gelap mata' tertipu, alami kerugian lebih RM120 000 - Utusan Malaysia

Suri ‘gelap mata’ tertipu, alami kerugian lebih RM120 000

MOHD. SOHAIMI ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang suri rumah bukan sahaja berputih mata untuk mendapat komisen jualan pakej hotel, malah wang berjumlah RM126,490 yang dilaburkan lebur begitu sahaja akibat terpedaya dengan pelaburan palsu.

Ketua Polis Daerah Seri Alam Superintenden Mohd. Sohaimi Ishak berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa berusia 44 tahun Jumaat lalu yang mendakwa terperdaya oleh kenalan dalam media sosial yang menawarkan kerja sambilan dalam talian yang menjanjikan pulangan lumayan.

“Mangsa mula mendaftar menerusi pautan yang diberi suspek pada awal Mei untuk menjual pakej bilik hotel yang tertera dalam laman web terbabit selain perlu membuat pembayaran modal.

“Mangsa dijanjikan komisen hingga 15 peratus daripada harga pakej yang berjaya dijual  manakala komisen 10 peratus pula sekiranya berjaya menjual pakej hotel kurang lima bintang,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Mangsa yang tertarik dengan tawaran itu telah membuat 17 transaksi pindahan wang secara dalam talian ke enam akaun berbeza bermula 17 hingga 28 Mei dengan keseluruhan berjumlah RM126,490 sebagai modal pelaburan dan bayaran cukai keuntungan.

“Pada mulanya mangsa berjaya menjual pakej hotel sehingga memperoleh komisen melebihi 100 peratus nilai modal yang dikeluarkan menyebabkan mangsa menggandakan lagi jumlah modal. 

“Wanita itu hanya sedar ditipu apabila tidak berjaya mengeluarkan wang komisen diterima, sebaliknya suspek meminta mangsa membuat bayaran tambahan,” katanya.

Justeru,  beliau menasihati orang ramai agar lebih berhati-hati dan tidak mudah mempercayai tawaran pelaburan atau pekerjaan dalam talian yang menjanjikan faedah mudah serta komisen yang tinggi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×