LONDON: Perdana Menteri Britain, Rishi Sunak menggesa pengundi dari sayap kanan politik untuk terus menyokong Parti Konservatif pada pilihan raya umum (PRU), minggu ini.
Menjelang PRU pada Khamis, Sunak merayu kepada pengundi Konservatif, yang sebahagiannya mula beralih ke parti sayap kanan, Reform UK pimpinan Nigel Farage sebagai protes terhadap kerajaan, untuk menghalang ‘majoriti besar’ pembangkang.
Beliau berkata, kemenangan besar bagi pembangkang, Parti Buruh akan merugikan negara dan demokrasinya.
Parti Konservatif dilihat bakal digugurkan dari pemerintahan selepas 14 tahun bergolak, apatah lagi dengan undi Britain untuk meninggalkan Kesatuan Eropah (EU) dan krisis kos sara hidup yang berlaku selepas pandemik COVID-19 serta pencerobohan Russia terhadap Ukraine.
Tinjauan secara konsisten menunjukkan Parti Buruh pimpinan Keir Starmer mendapat kelebihan sekitar 20 mata, dengan sokongan kepada Reform berpotensi memecah undi dan Demokrat Liberal yang lebih mengecilkan sokongan kepada Konservatif.
“Jika Parti Buruh memegang kuasa tanpa sekatan dan tidak bertanggungjawab dengan majoriti besar, bayangkan apa yang akan berlaku kepada semua.
“Sekali anda memberikan kuasa kepada Parti Buruh tanpa sekatan, anda tidak akan dapat mengambilnya kembali dan ini bermakna cukai anda akan meningkat,” kata Sunak kepada pengundi dalam perhimpunan, pada Isnin.
Farage, seorang ahli politik paling dikenali dan kontroversi di Britain, menghabiskan beberapa dekad mengkritik pemerintahan serta EU, dan kebelakangan ini berkempen untuk Donald Trump di Amerika Syarikat (AS).
Beliau menyertai pilihan raya pada awal Jun, iaitu percubaan kelapan untuk memenangi kerusi di Parlimen Westminster dan berikrar untuk menggantikan Konservatif sebagai parti utama dari sayap kanan.
Menurut tinjauan, sokongan Reform meningkat pada separuh kedua bulan Jun, sejurus kenyataan Farage Barat mencetuskan pencerobohan Russia terhadap Ukraine.
Beberapa calon dan penyokongnya digugurkan kerana kenyataan tidak wajar dan berbaur perkauman itu.
Reform mungkin akan memperoleh berjuta-juta undi mengikut sistem pilihan raya Britain, tetapi parti itu tidak mungkin memenangi lebih kerusi di Parlimen.
Bagaimanapun, ia sudah cukup untuk memecahkan sayap kanan di banyak kawasan dan memberi kemenangan kepada Parti Buruh.- REUTERS










