REMBAU: Calon ditampilkan Kerajaan Perpaduan iaitu Dr. Joohari Ariffin, 60, pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap, 6 Julai ini mempunyai peluang baik untuk memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan.
Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ia berdasarkan susunan gerak kerja bersama ditampilkan BN dan Pakatan Harapan (PH) yang diwakili calon terbabit selain maklum balas terkini penduduk di kawasan berkenaan.
“Sungai Bakap ini kalau kalah, menang tidak akan berubah kerajaan (namun) adalah lebih baik jika orang Sungai Bakap mengundi calon yang bersama dengan kerajaan negeri kerana di situ nanti akan ada dapat platform, wakil yang boleh membawa suara mereka dengan lebih efektif.
“Bukan kata tidak boleh bawa suara tetapi lebih efektif jika ia bersama kerajaan negeri, dan kerajaan Persekutuan. Jadi jika ada apa-apa masalah, wakil rakyat boleh membawa dengan lebih efektif lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Rembau Kali Ke-45 di sini, hari ini.
PRK Sungai Bakap dengan hari mengundinya pada 6 Julai ini menemukan calon PH, Dr. Joohari dan calon Perikatan Nasional (PN) Abidin Ismail, 56. Ia diadakan berikutan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff daripada PN pada 24 Mei lalu berikutan mengalami keradangan dalam perut.
Pada PRN di Pulau Pinang Ogos tahun lalu, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua PAS Nibong Tebal menewaskan calon PH, Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.
Sementara itu, dalam majlis itu, Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau menyampaikan sumbangan sebanyak RM10,000 kepada PPK Rembau bagi memperbanyakkan lagi Jualan Agro Madani di daerah itu.
Ujarnya, langkah berkenaan adalah bagi memastikan jualah barangan dengan harga berpatutan dapat dilaksanakan dengan lebih kerap lagi bagi membantu orang ramai.-UTUSAN.











