BATU PAHAT: Suami seorang jururawat sebuah hospital swasta di sini yang dilaporkan hilang sejak lima hari lalu selamat pulang ke pangkuan keluarga.
Hasnah Hussin, 29, memberitahu, suaminya, Muhamad Faez Zainuddin, 33, pulang memandu kereta Kia Cerato kira-kira pukul 2.30 petang kelmarin, namun dalam keadaan kebingungan tanpa mengingati apa yang berlaku sepanjang tempoh itu.
Sebaik sahaja sampai di rumah, suaminya dilihat termenung di dalam kereta dan hanya keluar selepas dipujuk ahli keluarga yang berkumpul kerana bimbang dengan keadaannya.
“Alhamdulillah, dia sudah selamat pulang ke rumah walaupun dalam keadaan kurang stabil, kebingungan dan sentiasa termenung jauh.
“Selepas pulang ke rumah, dia berehat dan apabila keadaannya sudah beransur pulih, baharu diberikan makan dan mandi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan seorang lelaki hilang selama lima hari selepas keluar dari rumahnya di Kampung Batu 17, Jalan Ayer Hitam-Muar kira-kira pukul 9 malam.
Ketika keluar, lelaki berkenaan dilaporkan memandu kereta Kia Cerato dengan memakai pakaian serba hitam termasuk topi.
Susulan itu, isterinya membuat laporan kehilangannya di Balai Polis Parit Sulong serta merayu bantuan orang ramai bagi mengesan suaminya. – UTUSAN











