MELAKA: Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Datuk Ibrahim Durum menunggu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis menghantar surat rasmi kepada beliau.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ibrahim berkata, Muhammad Jailani tidak pernah mengisytiharkan keluar parti selama tiga penggal persidangan DUN Melaka.
“Sudah tiga kali persidangan termasuk ketika Dewan meluluskan Rang Undang-undang Enakmen Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2023 berkaitan anti lompat parti. Dia mana pernah beritahu saya mengenai status keahlian parti yang disertai.
“Saya tahu dia sertai Pas pun melalui televisyen. Kalau gentleman, dia kena berterus terang dengan saya.
“Beri saya seminggu atau seberapa cepat dia hantar surat pada saya. Kalau selepas dia balik dari Kuala Lumpur dan thantar surat, saya dah boleh buat keputusan,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan ketika sidang media Parlimen semalam mengesahkan penyertaan Muhammad Jailani ke dalam Pas.
Takiyuddin mendakwa tindakan tersebut tidak dianggap sebagai lompat parti memandangkan Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2023 berkaitan lompat parti diluluskan pada 31 Julai tahun lepas selepas Muhamad Jailani menyertai Pas pada 10 Jun 2023.
UMNO menggantung keahlian Muhamad Jailani enam tahun kerana didakwa melakukan sabotaj terhadap parti kerana hadir pada majlis pengumuman calon PN bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram di Bakri, Johor. – UTUSAN










