KUALA LUMPUR: Penyanyi, Black Hanifah bersyukur kini mampu kembali aktif menyanyi setelah diuji dengan kehilangan suara selama setahun yang turut menyebabkannya tidak boleh bercakap sebelum ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Black atau nama sebenarnya, Hanifah Muhammad Hanafiah berkata, sebelum ini dia mengalami masalah polip di bahagian anak tekak dan terpaksa menjalani pembedahan membuang ketumbuhan itu.
“Alhamdulillah, setelah menjalani pembedahan, saya kini sudah boleh bercakap dan menyanyi semula.
“Tapi selepas melakukan rawatan, saya tidak dibenarkan menyanyi dalam tempoh tiga bulan. Doktor maklum, masalah ini biasa dihadapi oleh mana-mana penyanyi bersuara tinggi yang membawa genre rock.
“Masalah ini juga boleh dialami oleh golongan pendidik seperti pensyarah dan guru. Nak kata sakit, tidak juga tapi saya sukar untuk bercakap. Bila bercakap suara saya putus-putus dan langsung tidak boleh menyanyi hingga menyebabkan diri berasa down dan sedih,” katanya.
Selain itu, Black mengakui pernah menyangka dirinya terkena sihir dan telah mendapatkan rawatan alternatif.
“Saya rasa ibarat mati hidup semula. Ada juga pergi mendapatkan rawatan tradisional tapi apabila diperiksa, mujur tidak ada apa-apa.
“Bila berjumpa dengan guru vokal pula, mereka cadangkan saya dapatkan rawatan di hospital. Saya ingat ini angkara sihir sebab tidak ada rasa sakit di tekak tetapi terganggu sebab tidak boleh bercakap dengan baik dan tidak boleh menyanyi langsung.
“Sebelum itu saya ada buat pemeriksaan biasa, tapi makin hari makin teruk. Rupanya cara saya makan salah, cara lontaran vokal pun salah dan selepas sedar ia bukan sihir, saya berjumpa pakar,”katanya.
Tambah Black lagi, dia juga menyedari berdepan dengan masalah tersebut ketika pandemik Covid-19 pada 2020.
“Saya ada gastrik dan masalah gerd (gastroesophageal reflux disease) yang teruk sehingga membawa kepada masalah polip di tekak. Sebulan sebelum pembedahan, banyak tawaran untuk saya menyanyi secara langsung menyebabkan saya rasa sedih untuk katakan tidak boleh kepada mereka.
“Jadi, saya minta isteri beritahu mereka yang kita sudah ada show, walhal tidak ada pun,” katanya. – UTUSAN










