JOHOR BAHRU: Seramai 35 individu termasuk dua wanita ditahan dalam Op Khas Mabuk yang dijalankan secara serentak di 10 daerah di negeri ini, kelmarin dan semalam.
Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, operasi yang dijalankan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) turut menahan seorang remaja berusia 16 tahun kerana tidak mempunyai lesen memandu.
“Dalam operasi bersepadu ini, kita telah menahan seramai 35 individu yang berusia lingkungan 16 hingga 60 tahun.
“Daripada jumlah itu, 32 individu ditahan di bawah Seksyen 45a (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan memandu dengan kepekatan alkohol melebihi had yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Menurut Kumar, mereka boleh didenda tidak kurang RM10,000 dan tidak melebihi RM30,000 dan penjara tidak melebihi dua tahun serta hilang kelayakan lesen memandu tidak kurang dua tahun, jika sabit kesalahan.
Tiga lagi individu ditahan di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan memandu secara melulu dan membahayakan serta turut menyita sebuah kereta dan 10 motosikal.
“Dalam operasi yang sama, seramai 1,417 individu dan sebanyak 1,302 buah kenderaan telah diperiksa dan sebanyak 481 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan,” katanya.
Katanya, sejak Januari hingga bulan lalu, sebanyak 267 tangkapan telah dibuat tujuh individu warga asing bagi kesalahan di bawah akta sama.
Sebanyak 1,343 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan susulan pemeriksaan yang dilakukan terhadap 11,904 individu dan pemeriksaan ke atas sebanyak 10,530 kenderaan. – UTUSAN









