KANGAR: Suasana sunyi sepi pada waktu malam di Tasik Melati di sini bertukar meriah dengan dilimpahi cahaya apabila sebanyak 150,000 kuntum bunga berlampu dengan pelbagai konsep menghiasi tasik berkenaan.
Pengunjung seolah-olah berada di taman fantasi apabila menjejak kaki ke tasik itu yang menjadi lokasi penganjuran pesta cahaya terbesar di negeri ini bermula 20 Julai lalu hingga 12 Ogos.
Paling mencuri tumpuan adalah laman lampu berkonsepkan awan fantasi berkabus seolah-olah seperti berada di dunia lain, jambatan pelangi, taman fantasi dan taman tulip serta ros.
Taman kelip-kelip antara yang menarik perhatian pengunjung selain jambatan bercahaya, ‘laluan cinta’, camera 360, itik gergasi dan laman pelangi.
Pesta cahaya dianjurkan Trident Event Management itu menyasarkan lebih 100,000 pengunjung sepanjang ia berlangsung.
Penganjur, Lin Nordin, 27, berkata, pesta cahaya berkenaan istimewa apabila berjaya menghidupkan suasana malam di Tasik Melati yang sebelum ini sunyi sepi.
Katanya, lampu yang menghiasi jambatan-jambatan di tasik berkenaan juga cukup menarik dengan menyajikan pemandangan memukau.
Ujarnya, sambutan cukup memberangsangkan apabila setiap hari khususnya pada cuti hujung minggu merekodkan kehadiran pengunjung lebih 2,000 orang dari dalam dan luar negeri ini.
“Kita sasarkan lebih 100,000 pengunjung sepanjang tiga minggu pesta ini berlangsung.
“Melihat sambutan setiap hari, jumlah tersebut mampu dicapai dalam masa terdekat.
“Selain itu, kita turut menyediakan beberapa lagi tarikan kepada pengunjung seperti pameran dinosaur,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Katanya, tiket untuk memasuki pesta cahaya berkenaan adalah RM8 untuk dewasa dan kanak-kanak namun bagi mereka yang berusia dua tahun ke bawah adalah percuma.
Ujarnya, pesta cahaya berkenaan bermula dari pukul 8 malam sehingga 12 tengah malam manakala gerai makanan serta jualan dibuka seawal pukul 5 petang.











