JOHOR BAHRU: Pihak penganjur acara sukan, khususnya bertaraf antarabangsa perlu menyenaraihitamkan para peserta yang terbukti melakukan penipuan bagi mendapat keputusan yang lebih baik.
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd. Hairi Mad Shah berkata, langkah itu perlu diambil bagi menjaga kredibiliti penganjuran acara berkenaan yang turut disertai peserta luar negara.
Katanya, perbuatan tersebut juga boleh mencemar nama baik kerajaan negeri yang menjadi tuan rumah bagi penganjuran sukan bertaraf antarabangsa itu.
“Selaku Exco Belia dan Sukan negeri Johor, saya mengambil serius perkara ini dan meminta mana-mana pihak penganjur untuk menyenarai hitam peserta-peserta yang terbukti melakukan penipuan dalam pertandingan.
“Ini bagi memastikan kredibiliti penganjuran acara berkenaan tidak terjejas oleh insiden-insiden seperti ini dan pada masa sama kerajaan negeri Johor yang menyokong acara seperti ini juga boleh terpalit sama dengan dakwaan atau isu integriti pengadilan dalam penganjuran sukan,” katanya mengulas isu tular tentang dakwaan beberapa pihak yang mempersoalkan bagaimana Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berjaya menduduki podium dalam acara 113 Triathlon Desaru 2024 pada Ahad lalu.
Antara dakwaan yang dipersoalkan menerusi komen-komen dalam media sosial adalah isu teknikal yang menimbulkan persoalan dan keraguan ramai komuniti sukan itu.
Mohd. Hairi telah membuat semakan dengan pihak penganjur 113 Triathlon Desaru 2024 mengenai isu itu dan dimaklumkan Syed Saddiq tidak membuat pusingan U mengikut laluan ditetapkan, sekali gus kejayaan Ahli Parlimen Muar itu yang menamatkan larian di tempat ketiga dibatalkan dan penyertaannya diisytihar sebagai ‘Did Not Finish’ (DNF).
“Saya tidak mempunyai masalah berkenaan penyertaan mana-mana pihak untuk menyertai acara sukan khususnya yang dianjurkan di Johor, namun sekali lagi saya ingin tegaskan, isu integriti dan penipuan adalah satu perkara yang serius dan tidak akan diberikan kompromi.
“Diharapkan, semua penggiat-penggiat sukan dan penggerak komuniti sebarang sukan dapat memastikan perkara ini tidak berlaku bagi membolehkan keharmonian serta semangat kesukanan dalam kalangan masyarakat dapat disemarakkan lagi,” katanya.
Dalam pada itu, Syed Saddiq ada membuat satu hantaran video dalam media sosialnya mendakwa wujudnya kesilapan. – UTUSAN










