KOTA TINGGI: Gara-gara berselisih faham dengan ibunya, seorang remaja perempuan di sini bertindak melarikan dari rumahnya.
Siti Nur Balqiesh Rasid, 17, lari dari rumah keluarganya di Bandar Penawar, dekat sini pada pukul 7 malam Khamis lalu dengan membawa beg plastik dipercayai mengandungi pakaian.
Walau bagaimanapun, setelah hampir tiga hari, remaja itu akhirnya berjaya ditemukan berada di sebuah kedai makan di Pasir Gudang.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Husin Zamora berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan remaja berkenaan pada Khamis lalu.
“Saya memuji tindakan bapa mangsa kerana terus melaporkan kehilangan anaknya selepas tidak dapat dikesan selama sejam. Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) menunjukkan remaja itu keluar dari rumah pada pukul 7 malam dengan membawa beg plastik.
“Mangsa telah ditemukan dengan selamat oleh orang awam ketika sedang makan di sebuah kedai berhampiran stesen bas di Pasir Gudang, petang semalam,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Dalam pada itu bapanya, Rasid Sulaiman berkata, anak sulung daripada empat beradik itu berselisih faham dengan ibunya berkaitan hasratnya mahu menukar kursus pengajian di sebuah kolej kemahiran di Johor Bahru.
Dia menafikan dakwaan bahawa anaknya itu lari rumah kerana mengikuti teman lelaki.
Katanya, Siti Nur Balqiesh dalam proses menyambung pengajiannya di peringkat diploma dalam bidang kosmetologi, namun baru-baru ini telah minta menukar kursus kimpalan atau mesin peralatan.
“Alhamdulillah berkat doa daripada semua orang, anak saya telah selamat ditemui dalam keadaan baik. Terima kasih kepada pasukan polis dan seorang anggota polis bantuan bernama Mohd. Afiq Danial yang menjumpai anak sebelum terus menghubungi isteri saya memaklumkan penemuan itu,” katanya dalam hantaran terkini menerusi laman sosial Facebook. – UTUSAN











