JOHOR BAHRU: Konsep sekolah bangsa Johor yang dititahkan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail akan mula dilaksana bermula sesi persekolahan 2025.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, dua sekolah rendah dan dua sekolah menengah yang akan dijadikan perintis sedang dikenal pasti Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ).
“Selari dengan titah Pemangku Sultan Johor yang menekankan kepentingan pendidikan berkualiti, Johor berhasrat melancarkan sekolah rintis Johor (pilot schools) bermula tahun 2025.
“Dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Johor, sekolah rintis ini adalah langkah permulaan untuk mencorak masa depan pendidikan bangsa Johor yang lebih maju dan berdaya saing,” kata beliau selepas menghadap Tunku Mahkota Ismail, di sini.
Menurut Onn Hafiz, tumpuan khusus akan diberikan terhadap penguasaan mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Matematik (STEM) serta bahasa Inggeris.
“Semoga apa yang dirancang ini akan membuahkan hasil yang baik demi masa depan Johor. Sama-sama kita doakan,” jelasnya.
Pada 9 Mei lalu, Tunku Mahkota Ismail dilaporkan bertitah agar silibus mata pelajaran di sekolah yang tidak lagi relevan diperbaharui bagi meningkatkan kualiti pendidikan golongan muda.
“Jika perubahan itu tidak dilaksanakan di peringkat nasional, biarlah Johor menjadi negeri pertama mengubah silibus mata pelajaran di sekolah-sekolah negeri ini,” titah baginda. – UTUSAN










