‘Saya sempat bacakan surah Yasin kepada abang’

‘Saya sempat bacakan surah Yasin kepada abang’

AHLI keluarga menuntut jenazah Muhammad Akil Syauqi Nur Sufyan yang meninggal dunia selepas termakan keropok mengandungi racun tikus di Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang, semalam. – UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : “Saya reda dengan apa yang berlaku. Saya sempat bacakan surah Yasin kepada abang (anak sulung).”

Itu luahan ibu kepada kanak-kanak yang maut akibat termakan racun tikus, Nurain Hasnorizal, 25.

Anak sulung Nurain, Muhammad Akil Syauqi Nur Sufyan, 3, sebelum itu disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 8.30 pagi semalam di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU), Hospital Pulau Pinang (HPP).

Nurain berkata, sejak kelmarin, doktor sudah memaklumkan bahawa keadaan kesihatan anak sulungnya itu merosot dan meminta ahli keluarga bersiap sedia untuk berdepan segala kemungkinan.

“Sejak malam tadi (semalam) saya memang tidak tinggalkan abang (Muhammad Akil Syauqi), tetapi dia memang tidak memberi apa-apa respon.

“Pagi tadi (semalam) saya bacakan surah Yasin di sisi abang. Perlahan-lahan dia pergi tinggalkan saya. Selepas saya habis bacakan surah Yasin, abang pergi, saya reda dengan apa yang berlaku kepada anak-anak saya,” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik hospital itu, di sini semalam.

Dalam kejadian Ahad lalu, Muhammad Akil Syauqi dan adiknya, Muhammad Luth Syauqi dilaporkan kritikal selepas memakan makanan ringan berupa keropok yang mengandungi racun tikus di sebuah kebun di Kampung Padang Ubi, Labu Besar, Kulim, Kedah.

Difahamkan, kanak-kanak terbabit makan makanan itu yang digantung di lokasi kejadian berdekatan rumah mereka.

Mengulas lanjut, Nurain berkata, dia juga sedih melihat keadaan anak bongsunya, Muhammad Luth Syauqi, 2, yang sedang bertarung nyawa dan masih dalam keadaan kritikal.

“Saya tak boleh tengok ke­adaan adik macam ini, nanti dia seorang macam mana. Adik dalam koma, seksa dia, saya tak pasti lagi ke­adaan dia macam mana, tunggu jawapan doktor,” katanya.

Nurain memberitahu, anak sulungnya itu merupakan seorang yang amat manja dengannya.

“Dia memang manja sebelum ini. Kalau saya nak pergi kerja, dia akan menangis. Tetapi, Sabtu lepas dia tidak menangis sewaktu saya mahu pergi kerja.Dia hanya melambai-lambai (ke arah) saya ketika saya naik motosikal dan pegang adiknya sahaja,” katanya.

Nurain berkata, ibu kepada pemilik kebun yang juga jiran mereka ada menelefonnya kira-kira pukul 10 malam semalam.

“Ibu kepada pemilik kebun te­lefon dan meminta maaf. Katanya, anak lelaki dia letakkan racun itu. Saya pun kata, tak apalah, benda dah berlaku. Kita pun tak tahu nak kata apa lagi, kita cuma harap benda baik sahaja,” katanya.

Sementara itu, nenek kanak-kanak terbabit, Saadiah Yaacob, 62, turut reda dengan pemergian cucu kesayangannya itu.

“Saya reda dengan ketentuan Ilahi, Allah lebih sayangkan cucu dan kami sekeluarga hanya mampu berdoa kepada adiknya yang masih bertarung nyawa.

“Apa-apa pun saya ingin berterima kasih kepada jiran yang bertindak pantas membantu kedua-dua cucu saya dengan membawa mereka ke Klinik Kesihatan Malau ketika kejadian itu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×