Russia tawan dua kampung di timur Ukraine

Russia tawan dua kampung di timur Ukraine

ANGGOTA perkhidmatan Russia di wilayah Donetsk di timur Ukraine, yang sebahagiannya dijajah.- AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOSCOW: Kementerian Pertahanan Russia mendakwa tenteranya sudah menguasai dua kampung di timur Ukraine, dua hari berturut-turut Moscow mengumumkan penaklukan kawasan baharu.

Kementerian itu mendakwa tenteranya berjaya mengawal penempatan Stepova Novoselivka di wilayah Kharkiv dan Novopokrovske di wilayah Donetsk.

Bagaimanapun, kenyataan tentera Ukraine menafikan sebahagian dakwaan Russia.

Kakitangan Am Angkatan Tentera Ukraine berkata, pasukan itu menangkis 17 serangan di sektor Kupiansk berhampiran Kharkiv, termasuk di Stepova Novoselivka.

Katanya, pertempuran sedang berlaku berhampiran Synkivka, jauh menghala ke barat.

Russia mengumumkan beberapa peningkatan sejak menawan bandar Avdiivka di wilayah Donetsk, pada Februari lalu.

Wilayah Donetsk dan Kharkiv, sepanjang 1,000 kilometer, kekal sebagai pusat tumpuan di barisan hadapan timur dan selatan Ukraine.

Sebelum ini, tentera Ukraine mendakwa pasukannya menangkis serangan Russia berhampiran dua bandar di wilayah Donetsk, Novooleksandrivka dan Spirne, sehari selepas tentera Russia menguasai mereka.

Laporan itu mendakwa, pertempuran berterusan berlaku berhampiran kedua-dua kawasan itu.

Katanya, bahagian hadapan Pokrovsk dikenal pasti sebagai pusat pertempuran paling sengit.

Kira-kira 40 serangan Russia ditangkis dalam tempoh 24 jam, dengan 14 pertempuran masih berlaku.

Tentera berkata, Russia mengekalkan kehadiran tentera di seberang sempadan dari wilayah Chernihiv dan Sumy, utara Ukraine.

Russia melancarkan serangan ke kawasan sempadan di wilayah timur Kharkiv pada Mei, membuka barisan baharu dalam pencerobohan berskala penuh selama 28 bulan.

Laporan terkini Ukraine memaklumkan tentera Kyiv mengawal kawasan itu dan menolak 11 serangan Russia berhampiran tiga bandar, termasuk Vovchansk, lima kilometer dari sempadan.- REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN