SINGAPURA: Mahkamah Singapura menjatuhkan hukuman penjara 17 tahun dan 20 sebatan terhadap lelaki warga Jepun kerana merogol seorang pelajar universiti secara kejam pada 2019.
Ikko Kita, 38, yang bekerja sebagai pendandan rambut adalah warga Jepun pertama yang berdepan hukuman sebatan di negara republik itu, kata Kedutaan Jepun di Singapura kepada BBC News.
Menurut dokumen mahkamah, Kita bertemu wanita tersebut di Clarke Quay, sebuah kawasan hiburan malam yang popular, pada bulan Disember 2019.
Mangsa yang ketika itu berusia 20 tahun, tidak mengenali Kita sebelumnya. Dia dibawa ke flat dalam keadaan mabuk sebelum dirogol.
Tertuduh juga merakam aksi itu di telefon bimbit dan menyebarkan kepada rakannya.
Kita kemudiannya ditangkap dan sejak itu berada dalam tahanan selepas mangsa melaporkan kepada pihak polis.
Hakim Aedit Abdullah menggambarkan serangan itu sebagai ‘kejam dan zalim’ kerana mangsa dalam keadaan mabuk dan tidak mampu menjaga diri sendiri.
Hakim juga menolak hujah pihak pembelaan yang mengatakan mangsa didakwa memberi petunjuk awal persetujuan untuk hubungan seksual.
Hukuman tersebut dilaporkan secara meluas di Jepun dan menjadi sohor kini dalam media sosial.
Segelintir pengguna menyatakan rasa terkejut dengan penggunaan sebatan di Singapura, walaupun ada juga yang meraikan hukuman itu.
Sebatan adalah bentuk hukuman yang kontroversi tetapi digunakan secara meluas di Singapura dan diwajibkan untuk kesalahan seperti vandalisme, rompakan serta pengedaran dadah.
Singapura menegaskan hukuman sebatan berfungsi sebagai penghalang kepada jenayah kekerasan, walaupun beberapa kumpulan hak asasi manusia melihat tiada bukti jelas terhadap keberkesanannya.










