MIRI: Sarawak masih menunggu persetujuan bagi dana kerajaan Pusat bagi menampung kos membangunkan seluas 5,000 hektar sebagai usaha menjadikan negeri ini salah satu Jelapang Padi di Malaysia.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Kemajuan Wilayah Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom berkata, secara prinsipnya kerajaan Sarawak telah bersetuju menampung setengah daripada keseluruhan kos berkenaan yang dianggarkan sebanyak RM1 bilion.
“Usaha ini adalah bagi menyediakan infrastruktur yang dapat menampung penanaman padi serta varieti pengeluaran hasil padi yang tinggi terutamanya padi U-Putra hasil kajian Universiti Putra Malaysia (UPM).
“Kita telah berbincang dengan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu di mana kita mencadangkan perkara ini yang akan memakan kos RM1 bilion.
“Malah, kerajaan Sarawak juga telah bersetuju untuk menampung kos setengah daripada itu iaitu sebanyak RM500 juta, dan kita kini menunggu peruntukan susulan daripada Kerajaan Pusat,” katanya.
Bagaimapun kata Rundi, biarpun dengan reaksi positif daripada Kerajaan Pusat, namun peruntukan berkemungkinan akan diterima pada tahun hadapan.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Seminar Kebangsaan Ke-16 (NATSEM 2024) – Peluang & Strategi: Untuk Meningkatkan Keuntungan Perniagaan Kelapa Sawit di Miri, Sarawak.
Dalam pada itu, Rundi berkata cadangan itu kelak dapat membantu meningkatkan tahap sara diri (SSL) yang ada di Malaysia di mana SSL di Malaysia ialah sebanyak 32 peratus.
Rundi juga berkeyakinan bahawa pembinaan infrastruktur di pelbagai peringkat kelak, kawasan tanaman padi dapat dizonkan bagi penanaman padi sahaja.
“Kerajaan Sarawak juga tidak akan memperolehi apa-apa keuntungan daripada projek Jelapang Padi ini, namun bagi memastikan keterjaminan makanan.
“Justeru, peruntukan yang diminta amat penting. Namun memerlukan peruntukan yang lebih tinggi disebabkan peruntukan yang dimohon hanya meliputi 3,000 hektar sahaja dengan Sarawak berhasrat untuk meluaskan projek ini sebanyak 10,000 hektar,” jelasnya.











