KULAI: Pelaksanaan projek Jalinan Digital Negara (Jendela) Fasa 1 di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak mengalami kelewatan dan mencapai tahap kemajuan 30 peratus sahaja.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, daripada 1,661 projek Jendela yang dirancang di seluruh negara, sebanyak 492 menara telekomunikasi telah siap dibina.
Katanya, sebanyak 716 menara lagi telah siap pembinaan sahaja dan dalam proses pengoperasian.
“Antara faktor beberapa projek Jendela lambat siap khususnya di Sabah dan Sarawak adalah kerana tidak mempunyai tapak sesuai untuk mendirikan menara telekomunikasi itu.
“Walaupun ia memberi kebaikan kepada penduduk, tidak semestinya penduduk bersetuju untuk menggunakan tanah mereka, itu antara faktor mengakibatkan kelewatan dan kita kurang berpuas hati dengan prestasi di Sabah dan Sarawak,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat tapak menara telekomunikasi Kampung Murni Jaya 2 dan Kampung Tersusun Murni Jaya, di sini hari ini.
Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Kulai turut berpuas hati dengan purata ujian kelajuan internet iaitu lebih 10 megabait sesaat (Mbps), mematuhi standard yang telah ditetapkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Beliau berkata, di Johor sebanyak 56 menara telekomunikasi sudah siap dibina dan satu lagi menara di Felda Inas, di sini akan beroperasi pada September ini.
Mengenai projek Jendela di Sabah dan Sarawak, Nie Ching berkata, projek yang dimulakan pada 2022 itu sepatutnya siap dalam tempoh 18 bulan, namun di Sabah hanya 50 peratus projek menara tersebut sudah disiapkan, manakala di Sarawak pula hanya 20 peratus.
“Memang Sabah dan Sarawak jadi tumpuan, kami sedang mengkaji teknologi baharu untuk mengatasi masalah ini, mungkin ada kawasan yang boleh menggunakan gelombang mikro ataupun satelit untuk memberi perkhidmatan telekomunikasi kepada penduduk.
“Kalau nak menggunakan gentian optik memerlukan waktu yang agak panjang, jadi setakat ini pihak kami mengkaji solusi baharu,” katanya. – UTUSAN











