KOTA BHARU: Pas Kelantan melihat simbol bulan lebih sesuai digunakan oleh Perikatan Nasional (PN) dalam menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada 17 Ogos ini.
Timbalan Pesuruhjaya III Pas negeri Datuk Mohamed Fadzli Hassan berkata, perkara tersebut telah terbukti berkesan apabila PN meraih kemenangan besar di Kelantan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN-15) lalu.
Menurutnya, bagaimanapun keputusan berhubung penggunaan logo serta calon untuk PRK Nenggiri akan ditentukan oleh pimpinan tertinggi parti.
“Kita akan terima apa sahaja keputusan yang dibuat oleh pimpinan parti.
“Jadi, semua pihak diminta tidak membuat sebarang spekulasi berhubung perkara itu memandangkan belum ada sebarang keputusan dibuat mengenainya,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Cawangan Operasi Dinar Dirham Kelantan di Dewan Bunga Teratai, Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.
Terdahulu, media melaporkan Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) berkemungkinan besar terus menggunakan logo Pas untuk calonnya yang bertanding pada PRK DUN Nenggiri, 17 Ogos ini.
Bagaimanapun, Pengerusi Bersatu Kelantan, Datuk Kamaruddin Md. Nor, berkata keputusan mengenainya akan dibuat oleh pimpinan Perikatan Nasional (PN).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pengundian PRK DUN Nenggiri pada 17 Ogos depan manakala tarikh penamaan calon serta pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 3 dan 13 Ogos.
Pada 13 Jun lalu, Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd. Amar Abdullah mengumumkan kerusi DUN Nenggiri dikosongkan.
Ia selepas beliau menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan daripada seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Bersatu mengenai pengguguran keahlian bekas ADUN Nenggiri, Mohd. Azizi Abu Naim daripada Bersatu.-UTUSAN










