Pesta Buku Negeri Sembilan tarik kehadiran 15,000 pengunjung - Utusan Malaysia

Pesta Buku Negeri Sembilan tarik kehadiran 15,000 pengunjung

MOHD. Zafir Ibrahim (dua dari kanan) melawat rerurai pempamer pada Pesta Buku Negeri Sembilan 2024 di Mydin Mall, Seremban 2, Seremban hari ini.-UTUSAN/NUR SHARIEZA ISMAIL.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pesta Buku Negeri Sembilan Tahun 2024 yang berlangsung di pusat beli belah Mydin, Seremban 2 sehingga hujung minggu ini dijangka dapat menarik kehadiran lebih 15,000 orang pengunjung.

Pengerusi Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan (PPANS), Datuk Mohd. Zafir Ibrahim berkata, sasaran kehadiran pengunjung tersebut realistik apatah lagi tempoh penganjurannya berlangsung selama lima hari berbanding tahun-tahun sebelumnya.

“Saya percaya akan berlaku peningkatan daripada segi jumlah pengunjung ke pesta buku pada tahun ini iaitu sehingga lebih 15,000 pengunjung berbanding 10,000 pengunjung yang direkodkan pada tahun sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Pesta Buku Negeri Sembilan 2024 dan Dekad Bahasa Kebangsaan Tahun 2024 yang diadakan di sini hari ini. 

Mohd. Zafir yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan berkata, penganjuran pesta buku berkenaan bertepatan dengan objektif menjadikan negeri ini sebagai sebuah negeri yang berilmu. 

“Bukan itu sahaja, ini membuktikan komitmen yang diberikan oleh pihak penganjur amat padu manakala objektif pelaksanaan pesta buku tercapai dengan jayanya yang mana mendapat sambutan hebat daripada pelbagai pihak,” katanya.

“Penganjuran pesta buku yang telah dilakukan oleh PPANS ini juga dapat merapatkan hubungan sesama pengarang, penerbit dan semua pemegang taruh dalam industri buku demi memperkasakan industri buku tanah air. 

“Selain ia dapat menjadi himpunan yang mengeratkan hubungan antara penulis dan membentuk jaringan penulis yang saling bekerjasama memikirkan bagaimana mahu menghasilkan karya-karya berkualiti demi pembentukan pemikiran masyarakat,” katanya lagi.

Bersempena dengan program tersebut juga, PPANS turut mengadakan beberapa pertandingan antaranya Pertandingan Semarak Pantun antara Jabatan Kerajaan Negeri Sembilan.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×