Pesara tentera didakwa lakukan amang seksual ke atas cucu tiri

Pesara tentera didakwa lakukan amang seksual ke atas cucu tiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seorang pesara tentera dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tiga tuduhan melakukan amang seksual terhadap cucu saudaranya yang merupakan kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun awal Jun lalu.

Tertuduh yang berusia 65 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.

Berdasarkan pertuduhan pertama hingga ketiga, tertuduh didakwa melakukan amang seksual ke atas seorang kanak-kanak perempuan berumur lapan tahun empat bulan.

Perbuatan tersebut dilakukan di dalam sebuah rumah di Kampung Pintu Gang di sini, antara 2 Jun 2024 sehingga 7 Jun 2024.

Ketiga-tiga pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah seksyen 14 akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan boleh juga dihukum sebat, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Siti Edabayu Subhan sementara tertuduh diwakili Muhammad Khairul Azwan Azhan sebagai peguam bela.

Siti Edabayu sebelum itu, tidak membenarkan tertuduh diikat jamin kerana tertuduh adalah datuk saudara kepada mangsa dan kes itu juga serius.

Muhammad Khairul Azwan bagaimanapun, memohon supaya mahkamah membenarkan anak guamnya diikat jamin atas faktor usia dan mempunyai penyakit.

Siti Edabayu kemudian mencadangkan supaya tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan tertuduh tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 25 Ogos depan sebagai sebutan semula kes.

Tertuduh membayar jaminan berkenaan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×