CANBERRA: Penunjuk perasaan pro-Palestin menceroboh bumbung Bangunan Parlimen Australia di Canberra hari ini, dan menggantung sepanduk mengutuk jenayah perang Israel di Gaza serta menyeru pembebasan Palestin.
Rakaman televisyen tempatan menunjukkan empat individu berpakaian gelap berada di bumbung bangunan dan menggantung sepanduk hitam bertulis ‘from river to the sea, Palestine will be free‘.
Salah seorang penunjuk perasaan juga berucap menggunakan megafon dari atas bangunan tersebut, mengutuk jenayah perang yang dilakukan Israel di Gaza.
“Kami tidak akan lupa, kami tidak akan memaafkan dan kami akan terus menentang,” kata penunjuk perasaan.
Jurucakap Hal Ehwal Dalam Negeri pembangkang, James Paterson berkata, tindakan penunjuk perasaan adalah pelanggaran serius terhadap keselamatan Parlimen.
“Bangunan itu diubahsuai dengan kos yang besar untuk menghalang insiden seperti. Satu siasatan perlu dilakukan,” katanya dalam hantaran di platform media sosial, X.
Israel melanggar resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menuntut gencatan senjata segera dan berdepan kecaman antarabangsa ketika serangan kejam berterusan di Gaza.
Serangan berterusan Israel di Gaza sehingga kini membunuh hampir 38,000 rakyat Palestin, kebanyakannya adalah golongan wanita dan kanak-kanak.- REUTERS










