Peniaga iklan jual durian premium walhal gred biasa - Utusan Malaysia

Peniaga iklan jual durian premium walhal gred biasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Seorang peniaga dikenakan tindakan selepas mendakwa kedai durian miliknya menawarkan bekalan buah-buahan premium walhal tidak seperti sama seperti yang diiklankan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tindakan itu terbongkar selepas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor melakukan pemeriksaan di kedai berkenaan yang terletak di SS2, di sini, menerusi Op Duri, semalam.

Pengarahnya, Mohd Zuhairi Mat Radey berkata, pemeriksaan dilakukan susulan penularan satu video tular yang dimuat naik di akaun Tik Tok yang menunjukkan aktiviti tawaran jualan dibuat pekerja kedai terbabit.

Kata beliau, dalam video itu, pekerja berkenaan mendakwa bekalan durian yang dijual pihaknya daripada jenis durian premium seperti ‘Musang King’, Udang Merah’, ‘Black Thorn’ dan lain lain jenis premium.

“Bagaimanapun, reaksi diberikan pengguna yang mengikuti akaun TikTok terbabit di ruangan komen adalah negatif dengan menyatakan bekalan durian dibeli di kedai terbabit tidak seperti mana diiklankan dalam rakaman video.

“Malah, rata-rata komen pengguna juga meluahkan perasaan tidak berpuas hati dengan kualiti durian dijual di kedai berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan reaksi pengguna yang tular di akaun TikTok terbabit, beliau berkata, satu tindakan pemeriksaan secara penyamaran oleh anggota Penguat Kuasa Pejabat KPDN Petaling Jaya untuk membuat pengesahan secara fizikal di kedai durian itu.

“Hasil pemeriksaan dilakukan mendapati kedai itu menggunakan papan tanda (iklan) menunjukkan pernyataan menjual pelbagai jenis durian yang difahami jenis premium.

“Bagaimanapun, pemeriksaan dilakukan mendapati jenis durian yang dijual itu tidak kesemuanya jenis premium,” jelasnya.

Malah, beliau berkata, terdapat juga jenis durian bukan premium dicampurkan dalam bakul jualan.

“Situasi ini membawa kepada percanggahan jenis sebenar barang dijual dengan iklan dipamerkan oleh kedai itu.

“peniaga kedai durian itu dikenakan tindakan mengikut Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan siasatan bertumpu di bawah kesalahan Seksyen 13 (1)(a) Akta Perlindungan Pengguna 1999.

“Ia adalah bagi kesalahan membuat iklan berbentuk umpanan (iklan umpanan) dengan niat untuk tidak membekalkan seperti mana diiklankan,”ujarnya.

Beliau menambah, KPDN Selangor memberi amaran keras ke atas mana-mana individu atau syarikat berkaitan supaya sentiasa mematuhi undang-undang ditetapkan.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi boleh menyalurkan aduan lengkap kepada pihak KPDN,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN