JERANTUT: Seorang peniaga ikan salai tilapia dan patin mengeluh akibat mengalami kerugian dan bimbang berdepan risiko gulung tikar berikutan tidak ramai pelanggan singgah berbelanja di gerainya berdekatan Kampung Jerantut Feri di sini.
Azman Zainuddin, 53, berkata, ikan itu cuma mampu dijual masing-masing kurang 100 ekor setiap hari berbanding sebelum ini antara 150 ke 200 ekor.
“Saya tidak tahu sebab kekurangan pelanggan tetapi kemungkinan mereka (pelanggan) berjimat berikutan kenaikan harga barang serta perbelanjaan harian yang melibatkan kos sara hidup tinggi.
“Hal sama berlaku apabila jarang disinggahi pengunjung dalam perjalanan pergi dan balik dari Taman Negara Kuala Tahan pada hujung minggu,” katanya kepada Utusan Malaysia di Jerantut Feri di sini, semalam.
Menurut Azman, senario sama berlaku apabila ternakan ikan patin dan tilapia di 27 sangkar miliknya kurang laris selepas bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri lalu.
“Sejak kekurangan pelanggan, saya cuma menyalai kira-kira 100 ekor sehari. Itupun tidak habis kecuali hujung minggu kerana ada pelanggan yang bercuti pulang ke kampung di sini dan berkunjung ke Taman Negara Kuala Tahan,” katanya.
Dia berkata, keadaan sama berlaku apabila ikan ternakannya juga semakin berkurang dipasarkan ke luar daerah kerana jarang ditempah peraih atau pemilik restoran berikutan kekurangan kuasa membeli dalam kalangan penduduk atau pelanggan.
Dia yang dibantu isterinya, Asrah Ahmad, 50, juga menjelaskan cuma mampu menjual dalam kuantiti sama dengan ikan tilapia dan patin ternakan sangkarnya di Sungai Pahang berdekatan kampung tersebut.
“Saya menternak kira-kira 80,000 ekor ikan patin dan tilapia untuk pasaran tempatan dan luar termasuk membuat salai bagi pelanggan yang berminat dengan menu masak lemak cili api.
“Harga ikan patin dan tilapia hidup, RM22 sekilogram, manakala ikan salai RM60 sekilogram malah harga berkenaan dikira.
Dia berkata, pendapatan kurang daripada RM1,500 hasil jualan harian menyebabkannya berdepan kerugian serta cabaran untuk menyediakan modal membeli makanan ikan bernilai RM82 seberat 20 kilogram yang menelan kos tinggi. – UTUSAN








