Pengunjung lelaki, perempuan di La Hot Spring diasingkan

Pengunjung lelaki, perempuan di La Hot Spring diasingkan

RAZALI Idris (berdiri) melawat kolam air panas, La Hot Spring di Besut, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Pengunjung lelaki dan perempuan di kolam air panas La Hot Spring di Besut akan diasingkan selepas ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, idea itu timbul apabila beliau melawat destinasi pelancongan tersebut, baru-baru ini.

Bagaimanapun, menurutnya, idea tersebut masih terlalu awal untuk dilaksanakan dan perlu diperincikan lebih mendalam melibatkan semua pemegang taruh terutama komuniti setempat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Tempat itu memang cantik dan sentiasa dikunjungi ramai terutama pada musim cuti sekolah, apatah lagi air panas semula jadi memang mempunyai banyak manfaat untuk kesihatan manusia.

“Apa yang saya perhatikan sepanjang berada di sana, pengunjung akan bercampur jantina dan saya fikir alangkah eloknya jika kolam air panas itu dapat diasingkan agar pengunjung terutama golongan wanita lebih selesa,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Kolam air panas La Hot Spring terletak kira-kira 125 kilometer dari pusat bandar Kuala Terengganu adalah destinasi tumpuan orang ramai untuk berkelah pada hujung minggu.

Mengulas lanjut, Razali berkata, beliau telah memuat naik cadangan itu di laman Facebook dan menerima pelbagai cadangan positif daripada orang ramai.

Tambahnya, ada netizen mencadangkan giliran hari antara lelaki, perempuan dan pengunjung yang datang berkeluarga.

“Ada juga cadangkan agar dibina fasiliti baharu untuk asingkan pengunjung mengikut jantina.

“Saya ada membuat senarai beberapa cadangan bernas yang diterima daripada pelayar Facebook saya. Jadi, saya fikir akan bawa cadangan itu ke dalam mesyuarat nanti,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini