Penghuni rumah anak yatim meningkat selepas Covid-19

Penghuni rumah anak yatim meningkat selepas Covid-19

SALBIAH Mohamed (tengah) bersama pegawai, kakitangan Peyatim dan penghuni Pertubuhan Anak Yatim dan Miskin Dahikmah, Kampung Pintu Padang, di Gopeng, kelmarin. – UTUSAN/MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAMPAR: Terdapat peningkatan ketara jumlah kanak-kanak yang memasuki rumah anak yatim terutama selepas pandemik Covid-19.

Presiden Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Malaysia (Peyatim), Datuk Dr. Tengku Mahmud Mansor berkata, antara faktor yang menyumbang kepada perkara tersebut adalah kematian ibu bapa dalam kemalangan jalan raya dan akibat wabak Covid-19.

“Peningkatan kemasukan anak yatim ketara selepas Covid-19. Sebab itu Malaysia tidak berkemampuan untuk mengambil anak-anak yatim dari negara lain yang sedang bermasalah.

“Disebabkan itu juga penting untuk kita selesaikan dan pastikan kebajikan diberi keutamaan kepada anak-anak yatim dalam negara,” katanya ditemui pada Program Semarak Kasih Muharam Hari Anak Yatim 2024 di Pertubuhan Anak Yatim dan Miskin Dahikmah, Kampung Pintu Padang, Gopeng di sini kelmarin.

Program dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan dan Operasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed.

Sementara itu, Salbiah berkata, kerajaan negeri menerusi belanjawan negeri menperuntukkan RM400,000 untuk menaik taraf infrastruktur rumah anak yatim di negeri ini sebagai mekanisme untuk mereka dapat menjalani kehidupan yang selesa seperti insan lain.

Menurutnya, kebajikan anak yatim yang ditempatkan di rumah jagaan akan terus menjadi fokus kerajaan negeri bagi memastikan pembangunan golongan itu terus terbela.

“Selain turun padang melihat sendiri keperluan mereka, kita juga meluluskan permohonan yang dibuat terutama berkaitan pembangunan infrastruktur.

“Menerusi belanjawan negeri setiap tahun kita menyalurkan RM400,000 bagi menarik taraf infrastruktur rumah anak yatim yang daif di seluruh negeri,” katanya.

Dahikmah merupakan antara rumah kebajikan yang menyertai Peyatim yang memayungi lebih 300,000 anak yatim di 72 institusi itu di seluruh negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN