Penggabungan anak syarikat bawa perubahan drastik - Ahmad Zahid - Utusan Malaysia

Penggabungan anak syarikat bawa perubahan drastik – Ahmad Zahid

AHMAD ZAHID Hamidi berucap sempena Pemukiman Program Utama KKDW di Pusat Konvensyen Desaru Coast, Kota Tinggi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Langkah  Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menutup dan menggabungkan 23 anak syarikat agensi di bawahnya yang gagal menjana keuntungan berjaya membawa perubahan drastik terhadap prestasi syarikat.

Menterinya, Datuk Seri  Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, laporan awal yang diterimanya menyatakan 100 anak syarikat agensi yang masih di bawah kementerian telah menunjukkan keuntungan secara keseluruhannya.

“Kita telah dapat melepasi tahap syarikat yang menjadi ‘cost centre’ kepada ‘profit centre’. ini adalah merupakan kejayaan awal yang dapat dicapai oleh KKDW,” katanya selepas menyampaikan perutusan pada Pemukiman Program Utama KKDW di Pusat Konvensye Desaru, dekat  sini hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, penggabungan anak syarikat yang gagal menjana keuntungan dengan syarikat yang untung juga telah dapat mengelakkan daripada pembuangan kakitangan.

Terdahulu dalam ucapan,  beliau memberitahu antara anak syarikat yang mencatat keuntungan sepanjang tempoh enam bulan pertama tahun ini adalah Perda Venture dengan rekod keuntungan RM2.7 juta dan KEDA Group of Companies  (RM243,706).

Beliau turut menyeru syarikat beroperasi di kawasan yang makmur dan sering mempunyai akses lebih baik kepada tenaga kerja yang mahir, teknologi maju dan sumber kewangan supaya membantu syarikat lain untuk berkembang dan mencipta keuntungan.

Ahmad Zahid juga menyeru warga kementerian itu supaya menerapkan nilai ekonomi sosial melangkaui metrik kewangan semata-mata. 

Menurutnya, KKDW juga mesti mewujudkan peluang pekerjaan yang bukan sahaja menyediakan pendapatan, malah memberikan nilai tujuan, kestabilan serta keupayaan untuk menyumbang secara bermakna kepada masyarakat.

Selain itu, kementerian berkenaan juga harus memberikan akses pendidikan yang baik dan berkualiti bagi memperkasakan warga desa untuk mencipta inovasi dan memacu pertumbuhan ekonomi.

“Dalam meningkatkan keterangkuman sosial, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan warga desa tidak terpinggir, diberikan peluang dalam aktiviti ekonomi, seterusnya mewujudkan sebuah masyarakat desa yang mempunyai suara dan peranan untuk dilaksanakan,” katanya.

Katanya, anjakan inovasi dan teknologi akan menjadi pemangkin terhadap pertumbuhan ekonomi yang mapan, sekali gus membolehkan limpahannya dinikmati seluruh rakyat di luar bandar dan tiada orang yang tertinggal.

“Yang terakhir, dengan akses terhadap infrastruktur dan bantuan kewangan yang baik, ia bukan sahaja dapat menjamin kualiti hidup yang lebih sempurna, malah mengangkat martabat mereka untuk menyumbang kepada negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN