Pengeluaran durian terjejas akibat El-Nino?

Pengeluaran durian terjejas akibat El-Nino?

A. AZMI Mohamed menunjukkan durian kampung yang dijual, namun mengakui pengeluarannya terjejas akibat cuaca yang tidak menentu di Kampung Melayu Raya, Pekan Nanas, Pontian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Para pekebun durian di beberapa kampung di sini, khususnya di Pekan Nanas yang sinonim dipanggil ‘lembah durian’ mendakwa pengeluaran raja buah berkenaan terjejas 50 peratus musim ini akibat cuaca yang tidak menentu.

Antara pekebun yang terjejas adalah di Kampung Sawah, Kampung Bakar Arang, Kampung Air Putih, Kampung Melayu Raya, Kampung Pak Khalib, Kampung Maju dan Kampung Sepakat Jaya.

Seorang pekebun di Kampung Melayu Raya, A. Azmi Mohamed, 53, berkata, durian yang mula gugur pada penghujung bulan Jun hanya bertahan selama 10 hari berbanding tiga hingga empat minggu sebelum ini.

“Daripada 140 pokok durian di tanah seluas 4.4 hektar, hanya separuh yang berbuah, manakala separuh lagi mengalami masalah buah yang kehitam-hitaman dan lembap,” katanya kepada Utusan Malaysia.

A. Azmi, seperti juga pemilik dusun lain tidak mengetahui punca berlakunya keadaan itu, namun menjangkakan keadaan itu disebabkan cuaca yang tidak menentu dengan hujan dan panas secara berlebihan.

“Tidak pernah berlaku keadaan seperti itu dan situasi tersebut telah menjejaskan pendapatan pemilik dusun yang menyifatkan musim durian sebagai ‘bonus’ tahunan,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan fenomena El Nino yang berterusan memberi kesan terhadap pengeluaran buah durian, malah pekebun menjangkakan berlaku peningkatan harga ekoran kekurangan buah pada musim ini.

Keadaan cuaca panas serta taburan hujan yang tidak menentu menyebabkan sebahagian besar bunga durian menjadi kering, malah buahnya cepat gugur sebelum matang.

Seorang lagi pekebun durian, Ayob Ketot, 73, di Kampung Air Putih turut menghadapi masalah sama apabila pengeluarannya turut terjejas, iaitu daripada 54 pokok durian kampung yang ada, separuh mengalami masalah sama.

“Bagi menampung kekurangan durian, saya membawa masuk durian dari luar seperti musang king, durian kahwin dan udang merah untuk memenuhi permintaan pelanggan,” katanya yang memaklumkan masalah itu turut menjejaskan ramai pemilik dusun di Pekan Nanas yang merupakan lokasi tumpuan penggemar durian segar pada hujung minggu serta cuti umum.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×