Pengayuh beca remaja jadi ‘ancaman’ pengayuh berlesen

Pengayuh beca remaja jadi ‘ancaman’ pengayuh berlesen

PERKHIDMATAN beca terus menjadi tarikan terutama pelancong asing di sekitar Banda Hilir. – UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kebanyakan penga­yuh beca tidak berlesen di sekitar Banda Hilir di sini dikatakan membabitkan golongan remaja bawah umur.

Seorang pengayuh beca yang mahu dikenali sebagai Yusof, 51, mendedahkan, kesemua remaja terbabit dipercayai mendapat sokongan ahli keluarga yang turut bekerja sebagai pengayuh beca.

Katanya, kehadiran mereka menyebabkan periuk nasi pengayuh beca berlesen terjejas.
“Mereka ini mendapat kebenaran daripada bapa sendiri yang bekerja sebagai pengayuh beca.

Beca tersebut disewa daripada pihak lain dengan kadar bayaran tertentu.
“Mereka akan keluar bekerja pada musim cuti sekolah atau hujung minggu kerana terdapat ramai pengunjung. Kehadiran mereka juga menyebabkan pendapatan pengayuh beca berle­sen terjejas.

“Remaja ini mempunyai ke­lebihan dari segi umur kerana masih muda, selain tatarias beca yang lebih menarik. Ini menyebabkan ramai pelancong memilih untuk menaiki beca mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sebelum ini, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman mendedahkan, berlaku peningkatan jumlah pengayuh beca bawah umur dan warga asing sejak Tahun Melawat Me­laka (TMM) 2024 dilancarkan.

Kata Yusof, pengayuh beca tidak berlesen berisiko mendatangkan bahaya kepada pelancong kerana tahap keselamatan kenderaan tersebut tidak diperiksa pihak berkuasa tempatan (PBT).

Menurutnya, mereka juga tidak melalui penilaian penge­tahuan am, latihan membawa beca dan menjalani saringan penyalahgunaan dadah.

Dalam pada itu, seorang lagi pengayuh beca yang mahu dikenali sebagai Rizal Ramli, 28, memberitahu, setakat ini tiada kelibat warga asing dikesan menjalankan aktiviti berkenaan.

“Kalau adapun yang telah lama bermastautin dan mendapat taraf pemastautin di negara ini. Bagaimanapun, pemantauan perlu dilakukan sekerap mungkin bagi memastikan Me­laka bebas pengayuh beca tidak berlesen,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×