JOHOR BAHRU: Seorang penganggur, Habin Noor Sulaiman, 56, terlepas hukuman mati apabila Mahkamah Persekutuan yang bersidang di sini hari ini mengetepikan hukuman gantung terhadapnya kerana didapati bersalah membunuh Nur Ain Ashikin Jemedi, 17, pada 2010 dan menggantikannya dengan hukuman penjara 38 tahun.
Keputusan itu dibuat panel hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Hanipah Farikullah.
Berdasarkan fakta kes, pemohon didakwa menikam Nur Ain Ashikin sebanyak 19 kali selain turut menyimbah cuka getah ke atas kepala mangsa yang kemudian meninggal dunia 21 hari semasa menerima rawatan di hospital.
Timbalan Pendakwa Raya, Tetralina Ahmed Fauzi membantah semakan permohonan itu kerana mangsa ketika ketika kejadian sedang mengandung, sekaligus pemohon telah membunuh dua nyawa.
“Mangsa bukan sahaja ditikam berkali-kali tetapi turut disimbah cuka getah pada bahagian kepalanya menyebabkan 68 peratus kulit tubuhnya rosak menyebabkan peluang untuk hidup tipis.
“Mangsa meninggal dunia selepas 21 hari di hospital, membuktikan dia menanggung kesakitan dan penderitaan sepanjang tempoh itu hanya dengan alasan mangsa telah mula merokok dan mempunyai ramai kawan lelaki,” katanya.
Sementara itu, peguam bela, Muhammad Abd. Kadir pula memberitahu, pemohon telah mengakui perbuatan dengan terus menyerah diri ke Balai Polis Ulu Tiram selepas kejadian tersebut dilaporkan ahli keluarga mangsa.
“Dia juga telah mengakui bersalah dan pemohon memberikan kerjasama sepanjang tempoh perbicaraan kes tersebut,” katanya.
Mahkamah hari ini kemudian menggantikan hukuman mati yang dijatuhkan Mahkamah Rayuan terhadap pemohon sebelum ini dengan hukuman penjara 38 tahun bermula dari tarikh dia ditangkap, iaitu pada 16 Disember 2010.
Pada 2014, Mahkamah Rayuan meminda pertuduhan terhadap Habin Noor kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan dia dijatuhi hukuman gantung sampai mati dan keputusan itu dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan di Putrajaya pada 22 Mac 2016. – UTUSAN










