PETALING JAYA: Polis mengesahkan pemandu e-hailing yang dilaporkan hilang apabila kali terakhir dapat dihubungi pada 12 Julai lalu ditemukan selamat hari ini.
Ketua Polis Daerah Ampang, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, Syahrul Asyraf Dahlan, 33, ditemukan di Klang, Selangor.
“Disahkan, pemandu e-hailing yang dilaporkan hilang ditemukan oleh sepasukan Polis Ampang Jaya di Klang, Selangor sebentar tadi.
“Kenyataan media akan dikemukakan setelah laporan penuh dibuat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Difahamkan lelaki itu ditemukan kira-kira pukul 5.40 petang tadi.
Media semalam melaporkan polis menerima laporan kejadian Orang Hilang (OH) kira-kira pukul 4.17 petang, Ahad lepas.
Mohd. Azam berkata, penama yang hilang adalah Syahrul Asyraf Dahlan, 33, bekerja sebagai pemandu e-hailing.
“Kali terakhir lelaki itu dapat dihubungi melalui panggilan telefon oleh ahli keluarga yang tinggal di Melaka adalah pada 12 Julai lalu.
“Ketika itu dia sedang bekerja memandu kereta nombor pendaftaran VCE 4826 jenis Proton Persona berwarna coklat,” katanya
Menurutnya, lelaki tersebut dimaklumkan tinggal di sekitar kawasan Lembah Klang dan hanya tidur di dalam kereta miliknya sejak bekerja sebagai pemandu e-hailing di bawah syarikat tempatan.
Tambahnya, pada 3Julai lalu merupakan kali terakhir lelaki itu menetap di rumah salah seorang ahli keluarganya di kawasan Pandan Jaya, di sini. – UTUSAN










