Pemakaian telepok teramai terima pengiktirafan MBOR - Utusan Malaysia

Pemakaian telepok teramai terima pengiktirafan MBOR

HADIRIN Program Moh Bertelepok bersempena Majlis Perasmian Perpatih Fest 2024 di Dataran Nilai, Seremban hari ini bergambar bersama sijil pengiktirafan MBOR bagi pemakaian telepok teramai.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seramai 1,002 wanita yang bertelepok (tengkolok) pada Majlis Perasmian Perpatih Fest 2024 di Dataran Nilai di sini menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) bagi pemakaian telepok teramai.

Sijil pengiktirafan itu telah disampaikan wakil MBOR kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Zafir Ibrahim selaku Pengerusi Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNS).

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun sementara itu berkata, pengiktirafan MBOR tersebut adalah sebagai acara memeriahkan lagi Perpatih Fest yang memasuki tahun kedua penganjurannya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pada tahun lepas MBOR telah mengiktiraf jambar dan masakan kepala kambing terbanyak. Kerajaan negeri komited menjadikan program yang berunsurkan Adat Perpatih seperti Perpatih Fest untuk menarik kedatangan lebih ramai lagi pelancong datang ke negeri ini. 

“Tambahan pula apabila mereka mengetahui bahawa satu-satunya negeri di negara ini yang mengamalkan Adat Perpatih semenjak daripada dahulu sehingga sekarang hanyalah terdapat di Negeri Sembilan sahaja. 

“Inilah keunikan yang menjadi kebanggaan kita sebagai rakyat di negeri yang amat terkenal dengan jolokan Negeri Beradat,” katanya sewaktu berucap merasmikan Perpatih Fest 2024 yang menampilkan tema Adat Yang Diuco Pakai.

Sementara itu, beliau berkata, bagi memastikan Adat Perpatih terus subur diamalkan dan tidak hanyut di dalam kemajuan, kerajaan negeri telah mengambil inisiatif menyalurkan Dana Memperkasakan Adat Perpatih melalui Lembaga Muzium Negeri Sembilan sejak 2019.

“Semenjak dana khusus ini diperkenalkan hampir 300 lebih program dan aktiviti yang telah dijalankan berdasarkan kepada empat teras utama dalam Adat  Perpatih iaitu Kepimpinan, Persempadanan, Olek dan Keilmuan,” katanya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN