JAKARTA: Presiden Joko Widodo (Jokowi) menamakan bangunan Pejabat Presiden di ibu negara baharu, Nusantara (IKN) Penajam Paser Utara (PPU) sebagai Istana Garuda.
Manakala, Istana Presiden di IKN akan digelar sebagai Istana Negara, lapor agensi berita ANTARA.
Pengumuman itu dibuat oleh Pemangku Ketua Penguasa IKN, Basuki Hadimuldjono selepas menghadiri mesyuarat dalaman bersama Jokowi di Istana Garuda, hari ini.
“Beliau menyatakan ini Istana Garuda bukan lagi Pejabat Presiden, tetapi ia dinamakan Istana Garuda. Yang dibawah ialah Istana Negara,” katanya pada sidang media di lobi Istana Garuda.
Istana Negara IKN adalah sebuah bangunan besar yang berfungsi sebagai kediaman rasmi Presiden Indonesia.
Ia terletak di Kawasan Inti Pemerintahan Pusat (KIPP) IKN, di Kabupaten PPU.
Istana Garuda pula terletak tepat di belakang Istana Negara di sebidang tanah yang lebih tinggi, dengan bangunannya berfungsi sebagai pejabat Presiden.
Basuki yang juga Menteri Kerja Raya dan Perumahan (PUPR) berkata, nama-nama istana itu rasmi dan boleh dikenali oleh orang ramai.
“Nama sekarang rasmi, ini Istana Garuda dan sebelah sana Istana Negara. Istana Garuda dan Istana Negara,” katanya.










