KUANTAN: Seorang pegawai bomba cedera ketika bertugas membantu mengawal kebakaran di sebuah gudang Jalan Bukit Ubi di sini malam tadi.
Mangsa, Kamerul Bieza Mohamed Kassim yang merupakan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuantan mengalami kecederaan melecur di bahagian tangan.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Datuk Ir. Dr. Wan Mohammad Zaidi Wan Isa berkata, mangsa mengalami kecederaan terbabit setelah terjatuh akibat licin dalam air bercampur minyak panas.
“Mangsa mengalami kecederaan melecur tahap dua dan sudah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk menerima rawatan lanjut. Mangsa dibenarkan pulang setelah menerima rawatan,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, sebuah gudang menyimpan barangan runcit berkeluasan 100×150 kaki persegi 100 peratus terbakar dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam tadi.
Wan Mohammad Zaidi memberitahu, pihaknya menerima panggilan sekitar pukul 9.12 malam dan jentera tiba dilokasi pada jam 9.24 malam.
Katanya, seramai 19 anggota dan tujuh pegawai serta dua lori tangki air dan tiga jentera bomba dari tiga BBP iaitu Kuantan, Indera Mahkota dan Gebeng dikerahkan ke lokasi.
“Operasi pemadaman menggunakan tiga aliran hos 200 kaki, enam nozel air tangki pam jentera bomba dan bekalan daripada jentera tangki air dan juga pili bomba berhampiran. Operasi turut dibantu dua unit lori tangki air syarikat Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP),” katanya.
Tambahnya lagi, kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 10.45 malam dan kejadian tidak membabitkan mangsa.
“Punca kebakaran dan kerugian masih dalam siasatan. Unit K9 diarahkan ke lokasi kebakaran bagi membantu siasatan,” ujarnya. – UTUSAN










